Skip to main content

Malaysia

Tiga beranak maut kemalangan, pemandu kereta positif dadah ditahan

Tiga beranak maut dirempuh pemandu positif dadah
Tiga beranak maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Perodua Aruz di Jalan Batu 17, Hulu Langat, Kajang pagi tadi. - Foto IDP Kajang/via Sinar Harian
Advertisement

KUALA LUMPUR: Tiga beranak maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Perodua Aruz di Jalan Batu 17, Hulu Langat, Kajang pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata berkata dalam kejadian pada 7.56 pagi itu, mangsa terdiri daripada seorang mekanik berusia 34 tahun, isterinya berusia 32 tahun dan anak lelaki mereka berumur tiga tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata polis menahan pemandu kereta terbabit selepas lelaki itu didapati positif terhadap dadah.

“Siasatan awal mendapati keluarga terbabit dalam perjalanan dari rumah mereka di Batu 18, Hulu Langat menuju ke Nanding sebelum sebuah Perodua Aruz dipercayai memasuki laluan motosikal yang dinaiki mangsa sehingga berlaku pertembungan.

"Akibat kemalangan itu, ketiga-tiga mangsa tercampak dan disahkan meninggal dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron berkata semakan mendapati pemandu kereta terbabit yang berusia 42 tahun mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah manakala ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif terhadap dadah jenis methamphetamine.

Beliau berkata lelaki terbabit akan dibawa ke Mahkamah Kajang esok bagi mendapatkan permohonan reman.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kajang Insp Mohd Raziman Rasid melalui talian 019-4565502 bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement