SUNGAI PETANI: Sepasang suami isteri warga emas dan seorang anak perempuan nyaris maut setelah rumah kedai yang mereka diami di Jalan Dewa, di sini terbakar dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi Jumaat.

Peniaga yang mahu dikenali sebagai Yang, 40-an, berkata, tiga beranak itu yang juga merupakan pemilik kedai, sempat menyelamatkan diri melalui pintu belakang setelah terdengar jeritan orang ramai.

"Api semakin marak dan apabila tahu ada orang dalam kedai, orang ramai jerit minta keluar, takut mereka sedang tidur dan tak sedar berlaku kebakaran," katanya.

Dia yang juga merupakan penyewa kedai yang terbakar dimaklumkan kejadian kira-kira jam 4 pagi.

"Apabila sampai semua sudah hangus, kedai saya di tingkat bawah, mereka tidur di tingkat atas, barang-barang jualan antaranya beg dan kasut sekolah musnah dalam kebakaran.

"Setakat ini kami belum anggarkan lagi jumlah kerugian," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba I, Ismail Mohd Zin berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 3.06 pagi.

Menurutnya, struktur kedai dua tingkat kelas A itu dianggarkan terbakar sehingga 90 peratus dan punca dan kerugian masih dalam siasatan.

"Hasil pemerhatian perincian awal kebakaran mendapati kebakaran bermula pada bahagian tingkat atas kedai.

"Bangunan kedai terbabit dibahagikan kepada dua bahagian iaitu di bahagian hadapan sebagai kedai kasut dan beg manakala di bahagian belakang sebagai kediaman, namun tiada mangsa terlibat kerana berjaya keluar melalui bahagian belakang kedai," katanya. -Sinar Harian