Skip to main content

Malaysia

Tiga beranak Rohingya rentung dalam kebakaran rumah di Bagan Serai

Tiga beranak Rohingya rentung dalam kebakaran rumah di Bagan Serai. Foto JBPM Perak
Anggota bomba melakukan kerja-kerja pemadaman menggunakan sumber bekalan air tangki jentera dan air terbuka dari parit yang berhampiran sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya. - Foto JBPM Perak
Advertisement

IPOH: Seorang lelaki Rohingya bersama dua anaknya rentung manakala isterinya melecur selepas rumah mereka di Lot 13926 C, Jalan Maju 4, Taman Serai Maju, Bagan Serai terbakar, pagi ini.

Mereka dikenali sebagai Mohd Yunus Nor Ali, 27 tahun, dua anaknya, Muhammad Woheed, 6 tahun, dan Mohamad Aheed, 3 tahun, sementara mangsa yang cedera ialah Saniya Jahan Juma Abul Kasim, 24 tahun.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 999 mengenai kebakaran tersebut sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai ke lokasi.

Menurutnya, setibanya jentera di lokasi, didapati sebuah rumah jenis Kelas A dengan keluasan 20’ x 40’ telah terbakar 70 peratus dan seorang mangsa wanita berada di luar rumah mengalami kecederaan melecur di tangan dan kaki.

“Menurut mangsa tersebut, terdapat tiga mangsa iaitu suami dan dua anak lelakinya yang terperangkap di dalam rumah,” katanya dalam kenyataan di sini.

Image
Tiga beranak Rohingya rentung dalam kebakaran rumah di Bagan Serai. Foto JBPM Perak
Foto JBPM Perak

Beliau berkata, ketua operasi melakukan size up dan mengaplikasikan konsep RECEO seterusnya mengarahkan anggota melakukan kerja-kerja penyelamatan dengan memberi rawatan awal dan membawa mangsa yang melecur ke hospital menggunakan jentera Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

“Anggota seterusnya melakukan kerja-kerja  mengesan mangsa terperangkap dan menemui tiga mangsa di dalam sebuah bilik kosong yang sedang terbakar,” ujarnya.

Tambahnya, ketua operasi mengarahkan anggota melakukan kerja-kerja pemadaman menggunakan sumber bekalan air tangki jentera dan air terbuka dari parit yang berhampiran sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya.

Image
Tiga beranak Rohingya rentung dalam kebakaran rumah di Bagan Serai. Foto JBPM Perak
Foto JBPM Perak 

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, operasi pemadaman turut dibantu anggota dari BBP Kuala Kurau dan Pasukan Bomba Sukarela Bagan Serai.

Operasi yang melibatkan 24 anggota bomba bersama enam anggota bomba sukarela berjaya dikawal jam 6.20 pagi dan tamat jam 7.35 pagi.

Image
Tiga beranak Rohingya rentung dalam kebakaran rumah di Bagan Serai. Foto JBPM Perak
Foto JBPM Perak 

Must Watch Video

Advertisement