KUALA LUMPUR : Tiga cedera termasuk seorang pemandu van sekolah berusia 62 tahun dalam satu kemalangan di Lebuhraya NPE, Kuala Lumpur pada Isnin.

Insiden yang berlaku pada jam 1.45 tengah hari itu berlaku apabila van yang dipandu mangsa dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas ke pengadang jalan.

Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Superintenden Zulkafli Che Lah, van berkenaan sedang membawa seramai 10 murid sekolah berusia tujuh hingga Sembilan tahun.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu van sekolah, seorang lelaki berumur 62 tahun bersama 10 penumpang berumur 7 hingga 9 tahun, pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan Brickfields 1 dan 2 menghala ke Jalan Pantai, sampai di tempat kejadian susur Jalan Syed Putra telah hilang kawalan dan terbabas serta melanggar batu penghadang di tengah jalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kesemua mangsa merupakan murid Sekolah Rendah Kebangsaan Brickfields 1 dan 2 yang menghala ke Jalan Pantai sebelum terjadinya kemalangan di susur Jalan Syed Putra.

Tiga cedera, van sekolah hilang kawalan sebelum rempuh penghadang jalan

Difahamkan, pemandu van berkenaan masih dirawat di zon merah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menerusi video tular berkenaan, situasi cemas itu menyaksikan kesemua murid sekolah panik malah ada yang menangis sewaktu kejadian.