KULAI: Tiga daerah di Johor dilanda banjir membabitkan 276 mangsa di Kulai, Kluang dan Segamat yang dipindahkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 8 pagi ini.

Menurut laporan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Kulai menjadi daerah paling terjejas melibatkan seramai 194 mangsa daripada 40 keluarga.

Katanya, kesemua mangsa ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Serbaguna Kampung Baru Sengkang dan Dewan Raya Kampung Murni Jaya. 

"PPS Dewan Serbaguna Kampung Baru Sengkang dibuka pada jam 7.30 malam, manakala Dewan Raya Kampung Murni Jaya, dibuka pada jam 9.30 malam.

"PPS Dewan Serbaguna Kampung Baru Sengkang menempatkan 134 mangsa daripada 37 keluarga dari Kampung Baru Sengkang.

"Manakala PPS Dewan Raya Kampung Murni menempatkan 55 mangsa daripada 11 keluarga dari Kampung Murni Jaya," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Sebuah PPS turut dibuka di Kluang tengah malam tadi apabila 25 mangsa daripada lima keluarga di Kampung Ithnin Maarof, Simpang Renggam, terpaksa dipindahkan ke dewan utama kampung itu berikutan banjir kilat melanda.

IKUTI SEGALA MAKLUMAT TENTANG BANJIR DI SINI 

Manakala di Segamat, 57 orang daripada 18 keluarga dipindahkan ke tiga PPS sejak 2 Nov lalu, membabitkan Balairaya Kampung Batu Badak,  Balairaya Kampung Kuala Paya dan Dewan Komuniti Tasek.

"Sejak 2 Nov lalu, tiga PPS sudah dibuka di Segamat, namun tiga lagi PPS baharu dibuka di Kulai dan Simpang Renggam, Kluang, malam tadi," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, paras air di Sungai Johor membabitkan lembangan Sungai Sayong di Kampung Sungai Siam, Kulai, dilaporkan berada pada paras bahaya pagi ini.

Sungai berkenaan mencatatkan paras 20.71 meter berbanding paras normal iaitu 19 meter.

Dua lagi sungai iaitu Sungai Batu Pahat membabitkan Lembangan Sungai Lenik di Ladang Chaah serta Sungai Skudai di Kampung Separa, kini berada di paras amaran.

Sungai Lenik mencatatkan paras semasa 5.7 meter berbanding paras normal pada  4.10 meter, manakala Sungai Skudai pula mencatat paras 17.49 meter berbanding 16 meter pada paras normal.