KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini bersetuju menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di  tiga kawasan  di Pahang dan Sarawak.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ia meliputi Apartment Meranti, Midhill Apartment, Ramin dan Vista Residence, Bentong, Pahang, Rumah Panjang Luni, Manna, Nelson Chuat, Mukah, Sarawak dan Rumah Panjang, Jalan Bukut Balingian, Mukah, Sarawak.

Di Pahang, PKPD jelasnya ditamatkan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan susulan penurunan kes dilaporkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Apartment Meranti, Midhill Apartment, Ramin dan Vista Residence, Bentong, Pahang yang dijadualkan tamat pada 23 Mei 2021.

"Dalam tempoh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 297 ujian saringan namun tiga (3) daripadanya disahkan positif COVID-19.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Apartment Meranti, Midhill Apartment, Ramin dan Vista Residence, Bentong, Pahang pada 15 Mei 2021, lebih awal daripada yang dijadualkan," katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.

Dalam pada itu, kerajaan turut menamatkan PKPD di Rumah Panjang Luni, Manna, Nelson Chuat, Mukah, Sarawak bermula esok.

Jelas Ismail Sabri, daripada 151 ujian saringan hanya sembilan kes positif dilaporkan.

"KKM juga mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala kes terakhir telah direkodkan pada 14 Mei 2021 iaitu tiga (3) kes.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Rumah Panjang Luni, Manna, Nelson Chuat, Mukah, Sarawak pada 16 Mei 2021, seperti yang dijadualkan," katanya lagi.

Sementara itu, satu lagi kawasan ditamatkan PKPD ialah di lima rumah panjang di Jalan Bukut Balingian, Mukah, Sarawak bermula esok.

Jelas Ismail Sabri, ia selepas KKM mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal.

"Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lima rumah panjang iaitu Rumah Panjang Belayong, Rumah Panjang Muda, Rumah Panjang Tepi, Rumah Panjang Minggu dan Rumah Panjang Undom di Jalan Bukut Balingian, Mukah, Sarawak yang dijadualkan tamat pada 20 Mei 2021.

"Sepanjang tempoh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 315 ujian saringan dan 156 daripadanya disahkan positif COVID-19," katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kanan Pertahanan itu turut memaklumkan bahawa PKPD di dua Rumah Panjang di Bukit Dinding Bergerik, Mukah dilanjutkan bermula 17 hingga 23 Mei depan.

Perlanjutan itu susulan peningkatan kes baharu masih dilaporkan selepas 150 ujian saringan dilakukan.

"Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 150 ujian saringan di kedua-dua rumah panjang tersebut dan 81 disahkan positif COVID-19.

"KKM juga mengesahkan penularan masih berlaku di lokaliti tersebut dan kes baharu juga masih direkodkan.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di Rumah Panjang Jali Anak Empaling dan Lanyau Anak Tuli, Bukit Dinding-Bergerik, Mukah, Sarawak bermula 17 Mei sehingga 23 Mei 2021," katanya lagi.