Tiga kereta mewah, 727 barangan peribadi Datuk Seri Vida dilelong RM1 juta

Proses lelongan barangan milik Vida bernilai RM1 juta selesai selepas seorang pembida menarik diri, dengan semua barangan dijual kepada Norzamri Abdullah (dua, kiri). - Foto Astro AWANI
IPOH: Proses lelongan kereta mewah dan 727 barangan peribadi milik usahawan sensasi Datuk Seri Vida yang tertangguh sejak Disember tahun lalu, selesai pada Khamis dengan lelongan bernilai RM1 juta.
Ringkasan AI
- Proses lelongan barangan milik Datuk Seri Vida bernilai RM1 juta selesai selepas seorang pembida menarik diri, dengan semua barangan dijual kepada Norzamri Abdullah.
- Lelongan melibatkan 727 barangan termasuk kereta mewah dan peralatan rumah, disita susulan kegagalan Vida menjelaskan tunggakan lebih RM1 juta kepada kontraktor pada 2018.
- Peguam plaintif akan berbincang lanjut mengenai baki tuntutan sekitar RM100,000 termasuk faedah, dengan kemungkinan proses tambahan akan diteruskan.
“Memandangkan seorang pembina telah menarik diri dan tawaran dia tidak sesuai, maka kita ada seorang pembina sahaja yang telah mendaftarkan diri. Maka semua barangan dalam senarai perisytiharan jualan ini akan dijual dengan harga RM1 juta.
“Saya akan memanggil sebanyak tiga kali, panggilan pertama, panggilan kedua, panggilan ketiga berjaya dijual kepada Encik Norzamri bin Abdullah,” katanya
Sementara itu, Peguam Samir Zainal yang mewakili plaintif, Mohamad Taufik Kamarul Bari berkata, pembida yang berjaya perlu membuat bayaran penuh di Mahkamah Tinggi Ipoh sebelum jam 4.30 petang ini.
Menurutnya, pihak plaintif berpuas hati dengan proses lelongan yang turut dibantu pihak mahkamah dan polis.
Bagaimanapun, katanya, beliau akan berbincang dengan anak guamnya berhubung baki yang dianggarkan RM100,000, termasuk faedah daripada bayaran sebenar.
“Baki termasuk faedah dalam 100,000 lebih itu saya akan dapatkan arahan anak guam. Tapi saya difahamkan bahawa tuntutan tersebut akan dibuat. Jadi, maksudnya akan ada lagi proses,” katanya.
Pada 25 November lalu, dianggarkan 727 barangan milik Vida disita dalam proses yang berlangsung selama lima jam di banglo mewahnya di sini.
Barangan itu disita selepas Vida gagal menjelaskan bayaran baki tunggakan kepada syarikat kontraktor pembinaan AH Design Communication sebanyak lebih RM1 juta pada 2018.
Selain kereta jenis Toyota Vellfire, BMW X7 dan Toyota Grand Hiace, antara barang yang disita adalah seperti pembakar roti jenama Sharp, penapis air Coway, meja solek, dan peti sejuk.
Acara lelongan sepatutnya diadakan pada 9 Disember lalu, namun ditangguhkan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Vida menangguhkan proses itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


