JOHOR BAHRU: Tiga kru yang masih hilang dalam insiden kebakaran kapal tangki MT Pablo di Tanjung Sedili, dekat Kota Tinggi pada Isnin lalu, tidak ditemui di dalam badan kapal terbabit.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Nurul Hizam Zakaria berkata, operasi carilamat ditangguhkan pada jam 7 malam Jumaat selepas tidak menemukan sebarang petunjuk keberadaan tiga kru berkenaan.

Beliau berkata, operasi carilamat pada hari kelima pada Jumaat menumpukan pencarian dalam kapal MT Pablo selepas ia selamat dinaiki.

"Seramai 31 pegawai dan anggota Maritim Malaysia serta 11 orang Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terbabit dalam operasi tersebut.

"Pencarian turut dibantu dua orang kru kapal MT Pablo yang telah tiba di lokasi kapal tangki tersebut pada jam 1 petang pada Jumaat.

"Kawasan pencarian telah dilakukan di bahagian anjungan kapal sehingga ke bilik jentera, namun tiada mangsa ditemui," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurut Nurul Hizam, pesawat udara AW139 milik Maritim Malaysia turut melakukan 'safety past' bersama Unit Tindakan Khas (UTK) mendapati sudut kecondongan kapal semakin bertambah.

"Berdasarkan hasil pencarian dan penilaian keselamatan kapal tangki tersebut, pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah menangguhkan operasi carilamat ini sehingga petunjuk baru ditemui.

"Pihak MRSC Johor Bahru mengucapkan terima kasih kepada pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Laut Malaysia (JLM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Pelabuhan Johor dan Pasir Gudang, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) negara Indonesia serta semua pihak yang terlibat sepanjang lima hari operasi dilakukan," katanya.

Isnin lalu, kapal tangki MT Pablo terbakar kira-kira 50 peratus bahagian tengahnya di kedudukan 37.5 batu nautika timur laut Tanjung Sedili di Kota Tinggi.

Seramai 25 daripada 28 kru kapal diselamatkan dengan bantuan dua kapal yang berada berhampiran, manakala tiga lagi masih hilang.

Mereka ialah Satyam Tripathi, 26 dan Dinesh Kumar Chauhan, 34, masing-masing warga India, selain Sabit Shenderovsky, 37, yang berasal dari Ukraine. - Sinar Harian