Skip to main content

Malaysia

Tiga lagi ditahan bantu siasatan kes tutup jalan, berlumba di Linkedua

KULAI - Polis mengesan sekumpulan individu dipercayai terlibat lumba haram dan menutup laluan bagi memberi ruang kepada aksi tersebut di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) pada Sabtu._Sinar Harian
Sebelum ini sekumpulan individu dipercayai menutup jalan dari kilometer 33 susur Tol Senai Utara hingga kilometer 31, susur Johor Premium Outlet (JPO) di Linkedua untuk berlumba dalam kejadian itu. - Gambar fail
Advertisement

JOHOR BAHRU: Polis menahan tiga lagi lelaki hari ini bagi membantu siasatan kes menutup jalan untuk berlumba di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) pada 22 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Kulai ACP Tan Seng Lee berkata individu berusia 24 hingga 41 tahun itu ditahan di sekitar Kuala Lumpur dan disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

“Seorang direman empat hari, manakala dua lagi direman sehari selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Kulai pagi tadi,” katanya dalam kenyataan. 

Sebelum ini, media melaporkan lapan lelaki termasuk pempengaruh permotoran ditahan pada Ahad lepas dan direman empat hari bermula Isnin bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata sekumpulan individu dipercayai menutup jalan dari kilometer 33 susur Tol Senai Utara hingga kilometer 31, susur Johor Premium Outlet (JPO) di Linkedua untuk berlumba dalam kejadian itu.

Kejadian itu tular di media sosial dengan rakaman video yang memaparkan sekumpulan individu menahan pengguna jalan raya, supaya memberi laluan kepada mereka untuk berlumba.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement