KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiga lagi sekolah iaitu dua di Kajang, Selangor dan satu di Batu Feringghi, Pulau Pinang, menerima ancaman bom.

Di KAJANG, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima dua laporan ancaman bom pagi tadi.

"Setelah security flushing atau tindakan pembersihan keselamatan dilakukan, kita dapati tiada sebarang bahan letupan atau bom di kawasan sekolah antarabangsa tersebut," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelupusan barang kes dan lelongan kenderaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di Balai Polis Bandar Baru Bangi, dekat sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zaid berkata, semua tindakan yang diambil semasa tindakan pembersihan keselamatan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, pihak sekolah diminta mengosongkan bangunan dan memindahkan pelajar ke tempat yang selamat.

Tambahnya, selepas dibuat pemeriksaan, pihak polis tidak menemukan bom, bahan letupan atau benda yang mencurigakan.

Sehubungan itu katanya, polis telah menyerahkan sekolah kepada pihak pengurusan dan sesi sekolah berjalan seperti sedia kala.

Sementara itu di BATU FERINGGHI, Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut,  Superintenden V Saravanan berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung ancaman bom itu pada jam 9.22 pagi tadi.

Menurut Saravanan, pengurusan sekolah berkenaan telah menerima e-mel daripada individu tidak dikenali bertajuk ‘bahan letupan telah ditanam di sekolah’ pada jam 9.42 pagi semalam.

Saravanan berkata demikian dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, PDRM menerima 19 laporan berhubung ancaman bom palsu di beberapa buah sekolah di seluruh negara.

Beliau berkata, ancaman tersebut dihantar melalui dua akaun e-mel menggunakan nama 'taktstorer' iaitu dalam bahasa Jerman bermaksud 'pengganggu ketenteraman' daripada penyedia perkhidmatan e-mel Beeble.com.

"Kita menerima tujuh laporan di Selangor, Kuala Lumpur (lima), Johor (tiga), Pulau Pinang (dua) dan satu laporan di Perak serta Negeri Sembilan," katanya semalam.

Razarudin berkata, PDRM dengan kerjasama sekolah yang terlibat telah segera mengambil tindakan bagi mengosongkan premis sebaik menerima laporan.