BALIK PULAU: Tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota polis untuk melakukan pemerasan ditahan dalam serbuan di hadapan sebuah rumah di Kampung Jawa, Bayan Baru di sini semalam.

Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam kenyataan memaklumkan, suspek warga tempatan berusia 24 hingga 31 tahun itu ditahan dipercayai ketika melakukan pemerasan di rumah berkenaan.

"Polis menerima aduan berhubung kejadian terdapat tiga lelaki mendakwa sebagai anggota polis melakukan pemerasan di rumah itu dan sepasukan polis terus ke lokasi kejadian sebelum menahan mereka.

"Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu termasuk menyemak sama ada mereka pernah terlibat dalam jenayah sama sebelum ini," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, semakan rekod lampau mendapati dua daripada tiga suspek masing-masing memiliki empat rekod jenayah dan satu kes narkotik.

Kesemua mereka kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 384 dan 170 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA