KUALA LUMPUR: Pejabat Perdana Menteri (PMO) membuat laporan polis berhubung pemalsuan surat kelulusan projek pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
Laporan itu turut melibatkan penyalahgunaan nama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan identiti rasmi PMO.
“Pejabat Perdana Menteri telah membuat laporan polis berhubung pemalsuan dokumen dan penyalahgunaan nama Perdana Menteri serta identiti rasmi Pejabat Perdana Menteri.
“Tindakan undang-undang sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat,” menurut kenyataan itu hari ini.
PMO menegaskan, surat bertarikh 17 Julai 2026 yang mendakwa Jemaah Menteri meluluskan cadangan Projek Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) bagi kerja pelebaran Lebuhraya PLUS adalah palsu.
Menurut PMO, Perdana Menteri tidak pernah mengeluarkan atau menandatangani surat berkenaan.
Pejabat itu turut menafikan sebarang kaitan dengan dokumen serta kelulusan seperti yang didakwa.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya, menyebarkan atau berkongsi dokumen palsu berkenaan,” katanya lagi.