Tiga dilaporkan maut manakala 15 penumpang cedera selepas bas ekspres yang mereka naiki terlibat dalam satu kemalangan.

Kejadian dilaporkan berlaku di kilometer 420 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Bukit Tagar arah Utara sekitar 3.30 pagi ini.

Berdasarkan maklumat awal, bas berkenaan sedang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Pulau Pinang dan Kedah.

Tiga penumpang dilaporkan maut dikenalpasti sebagai Mohd Zamri Rani, 42 berasal dari Kedah, Mohd Ainul Fauzi Mohd Aman, 25 dari Simpang Renggam dan seorang penumpang wanita yang masih belum dikenalpasti.

Penumpang-penumpang yang cedera termasuk pemandu bas dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

Dalam pada itu doktor dan dua buah ambulans turut ke lokasi nahas bagi memberi bantuan segera kepada mangsa terlibat.

Kemalangan dpercayai berlaku apabila pemandu bas gagal mengawal kenderaan dan melanggar besi pembahagi jalan.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.