KUALA LUMPUR: Kertas siasatan kemalangan membabitkan lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur yang mengorbankan tiga sekeluarga dan seorang lagi cedera awal pagi tadi, akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara (AGC) esok.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Kuala Lumpur.
“Kertas siasatan dirujuk ke Ketua Unit Bahagian Jenayah Am dan Ketenteraman Awam, Jabatan Peguam Negara dan akan dibawa oleh pengarah pendakwaan dan pegawai penyiasat bagi tujuan sebarang pertuduhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zamzuri berkata pihaknya memperoleh perintah reman sehari bagi pemandu lori berkenaan dan pemandu kereta Proton Saga yang terlibat dalam kemalangan tersebut, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Media melaporkan tiga pejalan kaki daripada satu keluarga itu maut manakala seorang lagi cedera parah selepas dirempuh lori “Black Maria” JIM Kuala Lumpur di Jalan Sultan Ismail kira-kira 1 pagi tadi.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori tanpa muatan yang sedang dalam perjalanan menuju ke Chow Kit bagi operasi pendatang tanpa izin itu, dipandu masuk ke persimpangan ketika lampu isyarat berwarna merah dengan lampu suar (beacon) serta siren diaktifkan.
Kenderaan tugas rasmi itu kemudiannya bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga yang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau, menyebabkan lori berkenaan hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh kesemua mangsa serta sebuah kereta Inokom Matrix.
Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, manakala isteri mangsa Norhayati Razali, 55, sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur.
-- BERNAMA