KUALA LUMPUR: Kerajaan menggariskan empat fokus utama dalam menangani implikasi konflik berterusan di Asia Barat merangkumi rasionalisasi fiskal, keterjaminan rantaian bekalan strategik, kemampanan industri dan perniagaan tempatan serta pengurusan kos sara hidup rakyat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata empat fokus berkenaan menjadi asas kepada pelbagai langkah kerajaan bagi memastikan ketahanan ekonomi negara dalam mendepani ketidaktentuan global.
Beliau berkata rasionalisasi fiskal termasuk langkah kawalan perbelanjaan dan ketahanan serta penerusan momentum pertumbuhan ekonomi, manakala keterjaminan rantaian bekalan strategik dan barangan keperluan pengguna domestik meliputi usaha mendapatkan sumber bekalan alternatif.
“Kemampanan industri dan perniagaan tempatan pula melibatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam menghadapi tekanan kos meliputi penyediaan sumber pembiayaan.
“Seterusnya, pengurusan kos sara hidup yang meliputi penstabilan harga barangan dan perkhidmatan serta pendapatan sara hidup rakyat termasuk menyalurkan peruntukan subsidi dan bantuan tambahan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Armizan menjawab soalan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) yang ingin tahu sejauh mana kerajaan menjangkakan konflik Amerika Syarikat-Iran dan gangguan laluan perdagangan di Selat Hormuz akan meningkatkan kos sara hidup rakyat Malaysia, khususnya melalui kenaikan harga minyak, kos pengangkutan, makanan dan barangan keperluan.
Beliau berkata konflik itu telah mewujudkan rantaian krisis bekalan global termasuk persaingan dalam mendapatkan sumber alternatif dan sebahagian negara bertindak mengehadkan serta menyekat eksport ke luar bekalan dan produk yang dihasilkan dalam negara.
“Krisis bekalan global ini juga telah memberi kesan kepada isu ekonomi dan kos sara hidup global termasuk peningkatan harga barangan serta perkhidmatan termasuk kos logistik akibat daripada kejutan serta tekanan kepada pasaran global apabila berlakunya ketidakseimbangan di antara penawaran dan permintaan,” katanya.
Armizan berkata pada peringkat awal konflik yang bermula pada 28 Feb lepas, sumber bekalan negara hanya mampu bertahan untuk tempoh dua bulan, namun usaha berterusan kerajaan berjaya memastikan keterjaminan bekalan bagi tempoh yang lebih panjang.
Beliau berkata usaha itu turut memastikan bekalan barangan keperluan pengguna, termasuk bahan api, kekal berterusan tanpa sebarang gangguan, sekali gus mengelakkan keperluan melaksanakan catuan bekalan seperti yang dilakukan di beberapa negara lain.
Beliau berkata kadar inflasi negara juga kekal terkawal pada paras di bawah dua peratus.
Armizan berkata kerajaan akan meneruskan pelbagai strategi dan pendekatan bagi menangani isu kos sara hidup, termasuk menerusi ikhtiar Belanjawan 2027 dan pelaksanaan Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) yang dilancarkan pada 24 Okt lepas.
-- BERNAMA