LAHAD DATU: Tiga dilaporkan maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta yang dinaiki terjunam dalam gaung di kawasan jalan hutan simpan Bahagak-Lahad Datu, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, ketiga-tiga lelaki yang belum diketahui identiti itu disahkan meninggal dunia di lokasi tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.38 malam.
Katanya, seramai empat anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 50 kilometer dari BBP Lahad Datu.
"Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Aeroback yang dipercayai terbabas sendiri di selekoh jalan dan terjunam masuk gaung sedalam anggaran lima meter.
"Terdapat tiga lelaki dewasa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang turut berada di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya, mayat kesemua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Terdapat seorang lagi lelaki dewasa mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut.
"Selepas memastikan tiada lagi sebarang bahaya di lokasi, pasukan bomba menamatkan operasi pada jam 8.45 malam," katanya. - Sinar Harian