Tiga pelajar lelaki dari Sekolah Menengah Kebangsaan Lokman Hakim, Felda Lok Heng, Kota Tinggi, maut apabila kereta Proton Wira dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Myvi di Simpang Lok Heng berdekatan Bandar Penawar, Kota Tinggi, lewat petang Rabu.

Kemalangan pada kira-kira pukul 6.30 petang itu turut menyebabkan seorang guru wanita, Widyawati Simarani, 46, yang bersama mereka, cedera manakala pemandu Perodua Myvi, Naziha Aqmaliah Mazlan, 24, patah kaki dan kini dirawat di Hospital Kota Tinggi.

Ketiga-tiga pelajar, Mohamad Noriman Bastaman, 17, Daing Muhammad Afeeq Mohd Afeeq-ur Rahman, 16, serta Muhamad Syafawi Zayadi, 17, meninggal dunia di tempat kejadian.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Pegawai Bomba Kanan II Abdul Rahim Abdul Rani berkata enam anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan mengenai kemalangan itu pada kira-kira pukul pukul 6.31 petang.

"Seorang daripada pelajar berkenaan meninggal dunia akibat tersepit dalam kenderaan manakala dua lagi tercampak keluar dari kenderaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

-- BERNAMA