MANJUNG: Mayat mangsa kedua daripada tiga remaja yang dikhuatiri hilang di Sungai Sempit Kampung Tanjung Batu, Pantai Remis, Perak pada petang Isnin ditemukan tengah hari Selasa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon dalam kenyataan berkata, mangsa, G. Sarath, 16, ditemui sekitar 300 meter dari lokasi kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa dijumpai țersangkut pada jaring nelayan, kira-kira jam 12.40 tengah hari.

Sehubungan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah diperhebatkan untuk mengesan mangsa terakhir, T Eishwarpillai, 16.

Skop pencarian melibatkan empat buah bot digerakkan kedua-dua arah sungai dan sebuah lagi berhampiran muka muara bagi memastikan mangsa tidak hanyut masuk ke laut.

Sayani berkata, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) telah membuat size up dan pemantauan di lokasi dan sekitar mangsa tenggelam.

Selain bomba, agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Persatuan Nelayan Batu 3 Segari akan turut digerakkan secara bersepadu.

Dalam kejadian petang Isnin, tiga rakan itu hilang ketika dikatakan sedang memancing dan mandi manda di Sungai Sempit.