AYER KEROH: Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan mencuri wang tunai kira-kira RM900,000 milik sebuah syarikat kawalan keselamatan aset, Februari lalu. 

Tertuduh, Md Halman Lagis, Aszemi Dol dan Musliandee Mustapa Kamal yang kesemuanya berusia 43 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nazana Sinin.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama dengan dua yang masih bebas telah melakukan pecah pejabat dan mencuri wang tunai lebih kurang RM900,000 milik SRT-EON Security Services  Sdn Bhd. 

Kesalahan didakwa dilakukan antara pukul 12 tengah malam sehingga 1 pagi di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah pada 21 Februari lalu. 

Untuk itu, tertuduh di dakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan kesalahan kedua atau kemudiannya boleh dikenakan denda. 

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dikenakan terhadap setiap tertuduh.
 
Ketiga-tiga tertuduh yang diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan tertuduh masing-masing hanya bekerja sebagai pemandu lori, pemandu van kesihatan dan nelayan. 

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Mahkamah turut menetapkan 27 Jun depan sebagai sebutan semula kes serta lantikan peguam.