ALOR SETAR: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mempamerkan kecemerlangan apabila tiga subjek utama universiti itu melonjak kedudukan dalam QS World University Rankings (QSWUR) by Subjects 2022 yang diumumkan hari ini.

Tiga subjek itu ialah Perakaunan dan Kewangan dari kedudukan 201-250 ke 151-200, Ekonomi dan Ekonometrik dari 301-350 ke 201-250 dan Sains Komputer dan Sistem Maklumat dari kedudukan 601-650 ke 551-600.

Naib Canselor UUM Prof Dr Haim Hilman Abdullah dalam satu kenyataan malam tadi berkata bidang Sains Sosial dan Pengurusan juga melonjak dari kedudukan 340 ke 251.

"Pihak universiti bersyukur kerana UUM terus cemerlang dengan menunjukkan peningkatan kedudukan dalam QSWUR dari tahun ke tahun. Daripada empat subjek ini, ia menunjukkan peningkatan 75 peratus dan tiada subjek yang merosot.

"Ini adalah pencapaian terbaik universiti dan agenda bersama seluruh warga kampus untuk melonjakkan universiti sampai ke tahap yang membanggakan. Apa yang kita kecapi ini bukan kejayaan individu sebaliknya kejayaan bersama," katanya.

Beliau yakin dan percaya yang warga universiti akan terus bekerja kuat dan terus mengorak langkah demi melakar kejayaan yang lebih tinggi pada masa hadapan.

Sementara itu, QSWUR dalam kenyataan memaklumkan prestasi terbaik UUM didorong subjek Perakaunan dan Kewangan bagi indikator Reputasi Akademik, Reputasi Majikan dan Sitasi manakala Perniagaan dan Pengurusan Perniagaan bagi H-Index.

Sebanyak 51 subjek disenaraikan dan dikelompokkan dalam lima bidang utama iaitu Art and Humanities, Life Science and Medicine, Natural Science, Social Science and Management dan Engineering and Technology dalam edisi terbaru QSWUR by Subject 2022 ini.

-- BERNAMA