SEGAMAT: Tiga warga emas yang maut dalam kemalangan di Jalan Johor Bahru-Seremban di sini pada Khamis dalam perjalanan pulang selepas menziarahi pengebumian cucu salah seorang daripada mereka di Felda Pemanis di sini.

Ambok Salingkek Abdul Fatah, 69, anak kepada Indok Akok Dg Sitakak, 89, iaitu seorang daripada mangsa yang maut berkata, sebelum itu ketiga-tiga mereka hadir di Felda tersebut menziarahi pengebumian anaknya.

"Mereka dalam perjalanan pulang dari Felda Pemanis di sini selepas Asar menziarahi pengebumian anak saya. Saya pasrah dengan ketentuan Ilahi.

"Kes seperti ini amat menyentuh perasaan dan mengajar erti ketabahan," katanya yang masih terkejut, namun reda dengan kehilangan ibu dan anaknya dalam tempoh yang singkat.

Terdahulu Ambok Salingkek ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HDS) di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian petang Khamis, tiga warga emas, Indok Akok, Tahallah Abd Fatah, 62, dan Fatimah Ismail, 66, terkorban selepas Perodua Alza yang dinaikinya bersama 10 ahli keluarga dirempuh pikap Toyota Hilux ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Parit Kerimun, Benut, Pontian.

Tiga mangsa lain yang cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan itu masih dirawat di Hospital Daerah Segamat (HDS).

Dalam pada itu, semua jenazah dibawa pulang ke rumah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Karimun, Benut selepas solat Jumaat. -Sinar Harian