Skip to main content

Malaysia

The Tiger Show Podcast diundang ke acara peringatan demokrasi Korea Selatan

The Tiger Show Podcast Korea
Episod khas berjudul Democracy in Asia: Memory, Youth, and Democratic Resilience itu menampilkan tiga panel iaitu Pengarah Serantau Asia Centre, James Gomez, Pensyarah Universiti Chulalongkorn Pandit Chanrochanakit dan Pengurus Program dan Penyelidikan Foreign Policy Community of Indonesia (FPCI), Jenny Sari Winata.

KUALA LUMPUR: The Tiger Show Podcast diundang oleh Korea Democracy Foundation (KDF) sebagai rakan strategik sempena Majlis Peringatan Kebangsaan Kebangkitan Demokrasi 10 Jun yang berlangsung di Seoul.

Majlis berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri Korea Selatan, Kim Min-seok bersama anggota Kabinet, ahli Parlimen, ahli akademik serta wakil diplomatik dari pelbagai negara.

Image
The Tiger Show Podcast Korea
Majlis berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri Korea Selatan, Kim Min-seok.

Selain itu, KDF turut mengundang penyelidik, aktivis prodemokrasi dan pengamal media antarabangsa bagi bertukar pandangan mengenai perkembangan demokrasi serta cabaran semasa yang dihadapi masyarakat di rantau masing-masing.

Sebagai sebahagian daripada penglibatan dalam program tersebut, The Tiger Show Podcast yang dihoskan oleh wartawan Amin Iskandar, dan merupakan rakan strategik Astro AWANI, merakamkan satu episod khas di Seoul yang akan disiarkan pada jam 9 malam ini.

Episod berjudul Democracy in Asia: Memory, Youth, and Democratic Resilience itu menampilkan tiga panel iaitu Pengarah Serantau Asia Centre, James Gomez; Pensyarah Universiti Chulalongkorn, Pandit Chanrochanakit; dan Pengurus Program dan Penyelidikan Foreign Policy Community of Indonesia (FPCI), Jenny Sari Winata.

Image
The Tiger Show Podcast Korea
The Tiger Show Podcast yang dihoskan oleh wartawan Amin Iskandar dan merupakan rakan strategik Astro AWANI, turut merakamkan satu episod khas di Seoul yang akan disiarkan pada jam 9 malam ini.

Perbincangan tersebut menyentuh pelbagai isu termasuk ketahanan demokrasi di Asia, peranan generasi muda dalam proses politik, serta kepentingan memelihara memori sejarah sebagai asas kepada pembangunan institusi demokratik yang lebih kukuh.

Menurut panel yang terlibat, penyertaan golongan muda dalam proses membuat keputusan dan tadbir urus negara perlu terus diperkasa bagi memastikan sistem demokrasi kekal relevan dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran semasa.

Mereka turut berpandangan bahawa usaha memperkukuh demokrasi di rantau Asia memerlukan kerjasama rentas negara, selain sokongan berterusan daripada masyarakat sivil, institusi pendidikan dan media.

Acara yang diadakan di National Museum of Korean Democracy itu merupakan sebahagian daripada sambutan tahunan bagi memperingati kebangkitan rakyat Korea Selatan dalam memperjuangkan demokrasi pada 10 Jun 1987.

Muzium itu juga menempatkan pelbagai bahan arkib, artifak, rakaman serta pameran yang merakam perjalanan gerakan prodemokrasi negara berkenaan.

Korea Selatan menjadikan sambutan The June 10 Democratic Uprising sebagai acara nasional tahunan bagi mengenang jasa aktivis dan rakyat yang terlibat dalam gerakan menuntut pembaharuan demokratik, yang akhirnya membawa kepada perubahan besar dalam landskap politik negara itu.

 

Must Watch Video

Advertisement