KUALA LUMPUR: TikTok, platform media sosial terkemuka, mengambil kesempatan daripada peristiwa yang jarang berlaku iaitu tiga sambutan berturut-turut dalam tempoh 60 hari diraikan rakyat Malaysia, bermula Tahun Baharu Cina diikuti Ramadan dan Aidilfitri, dengan secara rasmi menamakannya sebagai “Super Season”.
Pengurus Besar Negara bagi Penyelesaian Perniagaan Global TikTok Malaysia Nikhil Rolla berkata dari akhir Januari hingga Ramadan dan kemuncaknya pada Aidilfitri ini, merupakan satu tempoh yang menyaksikan penglibatan tinggi di platform itu, sekali gus mencerminkan semangat muhibah rakyat Malaysia dalam meraikan pertembungan budaya dan agama.
Advertisement
"Tahun ini kita menyaksikan momen yang unik bagi rakyat Malaysia, apabila tradisi budaya dan perayaan bagi dua komuniti terbesar negara ini berlaku serentak, mewujudkan lebih banyak peluang bermakna untuk nilai kebersamaan dan berkongsi pengalaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata TikTok sentiasa terinspirasi melihat bagaimana masyarakat bersatu untuk meneroka, berkongsi dan berhubung di platform tersebut, selain menyatakan bahawa syarikat itu komited untuk menyokong sepenuhnya penglibatan orang ramai sepanjang tempoh 60 hari berkenaan.
Nikhil berkata "Super Season" bukan sahaja ditakrifkan sebagai satu lonjakan jangka pendek malah merupakan tempoh peningkatan aktiviti digital yang berterusan.
Pada Ramadan tahun lepas, platform itu telah merekodkan peningkatan tontonan video sebanyak 100 peratus, iaitu mencecah 92 bilion tontonan.
Tingkah laku pengguna semasa bulan puasa mengikut apa yang digambarkan oleh TikTok sebagai rentak “Sahur hingga ke Malam”, dengan tontonan video melonjak 289 peratus pada waktu sebelum subuh apabila pengguna mencari resipi dan inspirasi berbentuk kerohanian.
Penghasilan video meningkat 28 peratus ketika waktu berbuka puasa apabila pengguna berkongsi momen berbuka puasa, manakala 76 peratus pengguna beralih ke TikTok untuk mendapatkan inspirasi bagi perayaan tahun lepas, yang menyumbang kepada peningkatan 48 peratus dalam jumlah carian.
Nikhil berkata data tersebut menunjukkan perubahan dalam tingkah laku pengguna, dengan platform tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai sumber hiburan malah turut menjadi medium penemuan dan utiliti ketika tempoh kemuncak perayaan.
Sementara itu, bagi membantu peniaga memanfaatkan peluang musim perayaan 2026 ini, TikTok memperkenalkan pakej “Perayaan dan Bulan Mulia” yang merangkumi TopView Boost, Scripted Series dan Branded Search Hub.
TopView Boost membolehkan jenama memperoleh keterlihatan skrin pertama pada hari beli-belah kritikal, manakala Scripted Series memanfaatkan kandungan video pendek yang diterajui pencipta kandungan bagi memacu penglibatan penonton. Branded Search Hub pula direka untuk mengesan carian perayaan yang berhasrat tinggi, terutama untuk pembelian.
“Kita dapat lihat peralihan ini apabila pengguna bertukar ke TikTok bukan sahaja untuk hiburan tetapi juga sebagai satu utiliti,” kata Nikhil sambil mengakui bahawa jurang antara melihat iklan dan mencapai jualan kini semakin mengecil.
TikTok mengambil contoh kempen MAGGI dan MILO oleh Nestlé, yang masing-masing menjana lebih 45 juta dan 40 juta tontonan menerusi kandungan diterajui oleh pencipta kandungan, yang meraikan perayaan dengan mengimbau kenangan bersama keluarga dan semangat berbuka puasa.
Sementara itu, brand tempatan seperti Proudlab dan Mewah Exclusive turut memanfaatkan ciri perdagangan dalam platform itu, dengan Mewah misalnya merekodkan pertumbuhan 129 perataus dalam nilai dagangan kasar (GMV).
Pada Anugerah Rakan Kongsi TikTok Asia Tenggara 2026 yang bertamakan Strong Ties, Stronger Results, TikTok telah mengiktiraf rakan kongsinya atas kecemerlangan dalam penjenamaan, perdagangan dan prestasi pemasaran mereka, sekali gus menekankan peranan kerjasama strategik dalam mengekalkan keterlihatan dan menukar permintaan kepada jualan semasa kemuncak musim perayaan di Malaysia.
-- BERNAMA