MALAYSIA
Tindakan iklim mesti dilihat melalui lensa Maqasid al-Syariah - Sultan Nazrin

Sultan Nazrin menggesa agar isu perubahan iklim tidak dipolitikkan dan menyeru kepada kesepakatan global serta tindakan kolektif yang berani dan inovatif. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah bahawa kepimpinan berlandaskan pemikiran baharu serta penetapan hala tuju yang jelas amat diperlukan bagi menangani cabaran perubahan iklim dengan berkesan, dan setiap tindakan harus dilihat melalui lensa Maqasid al-Syariah.
Ringkasan AI
- Sultan Nazrin menekankan keperluan kepimpinan berlandaskan pemikiran baharu dan hala tuju jelas dalam menangani perubahan iklim, dengan setiap tindakan dilihat melalui lensa Maqasid al-Syariah sebagai amanah suci untuk memelihara bumi.
- Baginda menggesa agar isu perubahan iklim tidak dipolitikkan dan menyeru kepada kesepakatan global serta tindakan kolektif yang berani dan inovatif, termasuk penggunaan teknologi hijau yang benar-benar lestari.
- Sultan Nazrin turut menekankan peranan sektor kewangan Islam dalam menyokong pelaburan hijau, dengan USD15 bilion berjaya dikumpulkan melalui Sukuk Hijau pada 2024 bagi membiayai projek lestari seperti ladang solar dan sistem pengangkutan hijau.
Sultan Nazrin juga bertitah bahawa isu perubahan iklim tidak seharusnya dipolitikkan dan memberi amaran bahawa ketiadaan kesepakatan di peringkat global menjadi menghalang utama kepada pelaksanaan penyelesaian yang berkesan.
"Perubahan iklim sepatutnya berada di luar batas politik kepartian. Namun, ia kini seakan-akan menjadi bola sepak politik... Akibatnya, kita masih gagal mencapai kesepakatan global yang amat diperlukan," titah baginda.
Memetik ayat al-Quran dan Hadis, Sultah Nazrin bertitah mengingatkan para peserta bahawa manusia dipertanggungjawabkan sebagai khalifah, iaitu penjaga dan pemelihara bumi ini.
"Hadis yang masyhur meriwayatkan: Bumi ini hijau dan indah, dan Allah telah melantik kamu sebagai penjaganya. Kita memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah untuk melindungi bumi dan segala isinya, bukan sahaja untuk masa kini tetapi juga demi masa depan... ia merupakan satu amanah suci agar bumi ini kekal hijau dan indah untuk dinikmati oleh generasi yang akan datang," titah baginda.
Menyentuh peranan sektor kewangan, Sultan Nazrin turut menekankan potensi besar kewangan Islam dalam menyokong inisiatif berkaitan perubahan iklim.
"Kini merupakan industri global bernilai USD5 trilion, sektor kewangan Islam yang terus berkembang mempunyai instrumen dan sumber yang diperlukan bagi menyokong pelaburan dalam tindakan menangani perubahan iklim," titah baginda yang turut menghargai usaha Malaysia dalam merintis kerangka Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab.
Sultan Perak itu turut bertitah bahawa kira-kira USD15 bilion telah berjaya dikumpulkan secara global melalui penerbitan Sukuk Hijau pada tahun 2024 bagi membiayai pelbagai projek seperti ladang solar, sistem pengangkutan lestari dan program biodiversiti, dengan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengiktiraf instrumen ini sebagai antara penyelesaian utama ke arah pembangunan mampan.
Sultan Nazrin turut menekankan kepentingan inovasi dalam teknologi hijau.
"Kita perlu memastikan bahawa teknologi hijau yang dibangunkan benar-benar menyelesaikan masalah, dan bukan sekadar mengalih atau memindahkannya.
"Kita sudah menyaksikan panel solar dibuang secara membazir; ladang angin yang dibina mencemari laut dan bateri kenderaan elektrik menggunakan mineral nadir bumi yang diekstrak dalam keadaan yang merosakkan alam sekitar.
"Justeru, kita tidak boleh sesekali beranggapan bahawa apa yang telah kita lakukan sudah mencukupi," titah baginda.
Bertemakan Guardians of the Earth: Climate Action Through the Lens of Maqasid al-Shariah, persidangan meja bulat itu diadakan sempena ulang tahun ke-40 OCIS dan turut dihadiri oleh para kenamaan antarabangsa termasuk bekas Presiden Turkiye Dr Abdullah Gul dan bekas Perdana Menteri Kuwait Sheikh Dr Mohammed Al-Sabah.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami