NATIONAL
Tindakan segera perlu, lindungi hidupan liar dan pengguna jalan raya - Lee Lam Thye

Lee merujuk kepada insiden menyayat hati di Lebuhraya Timur-Barat semalam, apabila seekor gajah betina dirakam enggan meninggalkan anaknya yang mati dan terperangkap di bawah lori. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Lintasan hidupan liar merupakan infrastruktur penting yang boleh membantu mengurangkan insiden tragis haiwan dilanggar oleh kenderaan semasa melintas jalan untuk mencari makanan, kata aktivis kebajikan haiwan Tan Sri Lee Lam Thye.
Ringkasan AI
- Tan Sri Lee Lam Thye menegaskan bahawa infrastruktur seperti jejantas dan laluan bawah tanah perlu dibina bagi mengurangkan insiden haiwan liar dilanggar dan menjaga keselamatan pemandu.
- Pihak berkuasa disaran memasang pagar dan papan tanda untuk menghalakan pergerakan haiwan ke lintasan selamat serta mengurangkan had laju di kawasan berisiko tinggi.
- Kerjasama dengan pakar hidupan liar serta peningkatan kesedaran awam mengenai pemuliharaan haiwan dapat membantu melindungi warisan semula jadi dan memastikan keseimbangan antara pembangunan serta alam sekitar.
"Lintasan ini perlu direka berasaskan corak pergerakan spesies tempatan seperti tapir, gajah, dan haiwan lain yang terancam," katanya merujuk kepada insiden menyayat hati di Lebuhraya Timur-Barat semalam, apabila seekor gajah betina dirakam enggan meninggalkan anaknya yang mati dan terperangkap di bawah lori.
Tambah Lee pihak berkuasa juga boleh mempertimbangkan untuk memasang pagar di sepanjang lebuh raya bagi menghalakan haiwan ke tempat lintasan yang selamat dan mengelakkan mereka daripada berkeliaran di jalan raya, selain memasang papan tanda yang jelas menunjukkan kawasan itu sering dilalui hidupan liar, disertai dengan pengurangan had laju.
"Pihak berkuasa perlu bekerjasama rapat dengan pakar hidupan liar dan pertubuhan pemuliharaan untuk mengenal pasti koridor hidupan liar yang kritikal dan memasukkannya dalam perancangan infrastruktur negara," katanya.
Lee turut menekankan kepentingan pendidikan kepada orang awam mengenai pemuliharaan hidupan liar dan keperluan untuk memandu dengan berhati-hati di kawasan yang sering dilalui hidupan liar bagi meningkatkan kesedaran serta tanggungjawab dalam kalangan pengguna jalan raya.
"Dengan melabur dalam pembinaan lintasan hidupan liar dan mengambil langkah proaktif untuk melindungi warisan semula jadi, kita dapat memastikan keselamatan hidupan liar dan rakyat. Sekarang adalah masanya untuk bertindak sebelum lebih banyak nyawa, baik manusia mahupun haiwan hilang akibat kemalangan yang boleh dicegah.
"Marilah kita berusaha ke arah masa depan yang pembangunan dan alam semula jadi dapat wujud bersama secara harmoni," katanya.
--BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami