PUTRAJAYA: Keputusan kerajaan tidak membenarkan kapal yang menggunakan bendera Israel daripada memasuki negara ini tidak menjejaskan hubungan Malaysia dengan negara lain, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata keputusan itu jelas menunjukkan pendirian tegas negara berhubung konflik Palestin-Israel.

"Kita tidak mengatakan kita tidak menghargai hubungan kita dengan negara-negara yang lain tetapi (larangan itu adalah) disebabkan oleh ketetapan pendirian Malaysia berkenaan dengan keadaan di Gaza dan di Timur Tengah pada ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengimbas kad perakam waktu di lobi Wisma Putra di sini hari ini sebagai simbolik memulakan tugas secara rasmi di kementerian itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu memaklumkan kerajaan telah memutuskan untuk tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel memasuki negara ini berkuat kuasa serta-merta selain melarang mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan turut memutuskan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan dalam negara berkuat kuasa serta-merta.

Sementara itu, Mohamad berkata selaku Menteri Luar, beliau akan memastikan Malaysia terus tegas memainkan peranannya dalam memperjuangkan isu Palestin di peringkat antarabangsa.

"Pendirian Malaysia telah pun dinyatakan begitu tegas sekali dan itulah pendirian tetap yang akan terus diguna pakai oleh Malaysia, jadi tidak timbul soal saya datang di Wisma Putra ini akan ada perubahan pendirian negara," katanya.

Beliau juga akan memainkan peranan membawa mesej-mesej Malaysia ke luar negara dalam misi untuk terus mempromosikan keberadaan negara ini kepada masyarakat antarabangsa terutamanya dengan dasar-dasar baharu diperkenalkan Kerajaan Perpaduan.

"(Saya) tidak beralih daripada fokus dan tunjang hubungan luar negara sejak daripada dulu tapi menambah nilai apa yang perlu ditambah nilai dan perlu diperkasakan oleh Kementerian Luar untuk menerangkan konsep kerajaan MADANI dan juga berkenaan keutamaan negara ketika ini dengan tidak mengetepikan keutamaan untuk kita terus mengekalkan hubungan baik sama ada di peringkat negara serantau atau antarabangsa.

Mohamad berkata tugas berat menanti semua warga Wisma Putra bagi mengekalkan keseimbangan yang telah sedia terbina antara Malaysia dan masyarakat antarabangsa.

"Kita cuba mencari cara yang terbaik untuk mengekalkan prinsip Malaysia untuk terus menjadi negara yang berkecuali, negara yang bersahabat, negara yang mahukan perdamaian, negara yang mahu melihat hubungan antara negara menjadi lebih akrab dan mempertingkatkan hubungan sedia ada," katanya.

Terdahulu, Mohamad tiba di Wisma Putra pada pukul 10 pagi diiringi Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin dan Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Amran Mohamed Zin.

Beliau yang sebelum ini Menteri Pertahanan, menggantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir selaku Menteri Luar susulan rombakan Kabinet pada 12 Dis lepas.

-- BERNAMA