PUTRAJAYA: Tindakan menyita kontena kargo ketenteraan rejim Israel di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor membuktikan ketegasan Malaysia dalam menolak sebarang persekongkolan dan bantuan logistik kepada kezaliman Zionis.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata pihaknya menyokong tindakan kerajaan melalui Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam melaksanakan hal berkenaan.
“Tindakan ini selari dengan kewajipan agama serta prinsip Maqasid Syariah (Hifz an-Nafs) bagi memelihara nyawa dan memastikan kedaulatan tanah air tidak dieksploitasi oleh rejim haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menyokong penuh ketegasan kerajaan yang tidak berganjak daripada solidariti bersama Palestin.
“Sebarang usaha meloloskan kargo sokongan ketenteraan kepada Israel akan ditentang. Semoga Allah SWT memelihara perjuangan pembebasan Palestin sehingga kemenangan hakiki tercapai,” katanya.
Sebelum ini, AKPS dalam kenyataan memaklumkan menahan serta memeriksa sebuah kontena di PTP pada 7 Ogos lepas yang disyaki membawa dagangan untuk dieksport ke Israel.
Menurut agensi itu, penghantaran berkenaan disyaki tidak mematuhi Item No.15 Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2023 yang memperuntukkan larangan pengeksportan barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel selaras dengan dasar dan ketetapan kerajaan Malaysia.
Susulan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada AKPS atas tindakan pantas menyita sebuah kontena yang disyaki membawa muatan dagangan strategik untuk dieksport ke Israel di PTP.
-- BERNAMA