Skip to main content

Malaysia

Tindakan tangkap penagih dadah setiap hari sesuai dengan situasi Kelantan - Saifuddin

BUKIT KAYU HITAM, 30 Julai -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi penerangan ketika sidang media pada Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah: Komuniti Felda Sihat Kedah Sejahtera di Felda Bukit Tangga, hari ini._BERNAMA
Saifuddin Nasution berkata keseriusan ancaman dadah di Kelantan turut digambarkan menerusi jumlah penghuni penjara di negeri itu. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

BUKIT KAYU HITAM: Tindakan Polis Kelantan mewajibkan setiap Ketua Polis Balai (OCS) melakukan sekurang-kurangnya satu tangkapan berkaitan dadah setiap hari dilihat bersesuaian dengan keseriusan masalah penyalahgunaan dadah di negeri berkenaan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tindakan sedemikian perlu dilihat dalam konteks keadaan semasa di Kelantan, apabila hampir tiada kampung di negeri itu yang terlepas daripada masalah penyalahgunaan dadah.

“Jadi saya boleh faham latar belakang Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat yang menggesa tindakan sedemikian rupa. Di Kelantan hampir tidak ada kampung yang terlepas daripada masalah ini.

“Kuala Krai, Bachok, Tanah Merah, Pasir Mas, Kota Bharu, Machang dan Rantau Panjang adalah jajahan yang mencatatkan angka penyalahgunaan dadah dan bahan yang serius,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah: Komuniti Felda Sihat, Kedah Sejahtera yang dirasmikan oleh Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin di Felda Bukit Tangga di sini.

Saifuddin Nasution berkata keseriusan ancaman dadah di Kelantan turut digambarkan menerusi jumlah penghuni penjara di negeri itu, khususnya di Penjara Pengkalan Chepa yang merupakan antara penjara paling sesak di Malaysia.

Beliau berkata daripada setiap 100 penghuni penjara berkenaan, kira-kira 75 orang membabitkan kesalahan berkaitan dadah sama ada di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan atau Seksyen 12(2) akta sama kerana memiliki dadah.

“Satu lagi penjara ialah Penjara Machang yang bukan penjara reman, sebaliknya penjara sabitan. Daripada setiap 100 penghuninya, boleh dikatakan 95 orang adalah berkaitan masalah dadah,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata sekiranya Ketua Polis Kelantan mengarahkan ketua balai mengambil tindakan lebih agresif menerusi gerakan menyeluruh, ia adalah selaras dengan tahap masalah dadah yang berlaku di negeri itu.

Bagaimanapun, katanya, sama ada pendekatan sama akan dilaksanakan di negeri lain bergantung kepada penilaian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

“JSJN akan membuat keputusan. Mereka mempunyai pemetaan, pemprofilan dan semua maklumat yang diperlukan untuk menentukan tindakan seterusnya, sama ada mereka mahu mencontohi pendekatan Kelantan atau mengekalkan keadaan sedia ada,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Yusoff dilaporkan berkata semua 56 ketua balai polis di seluruh negeri itu perlu menangkap sekurang-kurangnya seorang penagih setiap hari menerusi pelan strategik baharu membanteras dadah yang mula dilaksanakan sejak 15 Julai lepas.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, Kedah terus berdepan ancaman serius penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang apabila sebanyak 11,524 kes direkodkan sepanjang suku pertama tahun ini, meskipun menunjukkan penurunan sebanyak enam peratus berbanding 12,259 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata kedudukan negeri itu yang berkongsi sempadan antarabangsa sepanjang kira-kira 100 kilometer dengan Thailand menyebabkan ia berisiko tinggi menjadi laluan kemasukan dadah ke negara ini.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement