Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengenakan tindakan tegas kepada pengeluar dan pengedar akhbar berbahasa Melayu dipercayai terbitan Daish kerana haram di sisi undang-undang.

Timbalan Menterinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka (pengeluar dan pengedar).

"Kami (KDN) akan mengenalpasti pengeluar dan pengedar terlebih dahulu bagi mendapat maklumat dari mana mereka mendapatkan akhbar tersebut untuk diedar di negara ini.

"Akhbar ini tidak mungkin diimpot kerana Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan memantau segala bentuk penerbitan yang masuk ke Malaysia.

"Maka kami akan siasat pengedaran sama ada dalam bentuk penerbitan atau muat turun di internet," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau mengulas laporan media tempatan hari ini mengenai tindakan kumpulan pengganas Daish memperluaskan usaha menarik pengikut baharu menerusi penyebaran dakyah sesat itu di negara ini, Indonesia, Brunei, Singapura, selatan Filipina dan selatan Thailand menerusi akhbar tersebut.

Akhbar keluaran pertama setebal 20 muka surat itu dilancarkan di selatan Filipina pada 20 Jun lepas sebelum kandungannya disebarkan secara dalam talian dan media sosial.

Nur Jazlan berkata mereka yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (Pindaan) 2012 kerana tidak mempunyai lesen mesin cetak atau permit penerbitan.

Katanya, penerbitan seumpama itu bukan sahaja mengelirukan masyarakat namun memudaratkan keselamatan dan menggugat keharmonian negara.

Sementara itu, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun meminta KDN dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat penyebaran akhbar itu secara atas talian supaya tidak boleh diakses rakyat di negara ini.

Beliau berkata siasatan PDRM setakat ini mengesyaki sebuah laman Facebook dan Twitter yang memuat naik risalah itu beroperasi di Filipina yang dipercayai diuruskan warga Indonesia dan Malaysia.

"PDRM meminta kerjasama pihak negara berkaitan supaya menyalurkan maklumat bagi mengesan mereka yang mendalangi kegiatan itu," katanya.

Mohamad Fuzi menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dalam hal berkaitan Daish dan akan mengesan mereka yang terlibat.

Beliau berkata polis sentiasa memantau media sosial kendalian kumpulan militan itu yang bertujuan menyebarkan dakyah sesat mereka.

Sementara itu, SKMM berkata pihaknya sentiasa bekerjasama dengan PDRM dalam usaha menangani penyebaran bahan mahupun maklumat berkaitan Daish yang mampu menggangu gugat keselamatan negara.

Sehubungan itu, SKMM akan menyekat penyebaran bahan-bahan yang dimaksudkan selepas mendapat permintaan daripada PDRM serta memberikan kepakaran teknikal dan forensik yang diperlukan.

"Pada masa yang sama, SKMM juga akan menyalurkan maklumat siasatan kepada PDRM bagi melicinkan proses siasatan dan tindakan ke atas mereka yang terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini.

SKMM juga menyeru orang ramai supaya melaporkan sebarang laman sesawang yang mencurigakan kepada suruhanjaya itu untuk tindakan selanjutnya.

Laporan boleh dibuat kepada Pusat Aduan SKMM menerusi talian hotline di 1-800-188-030, e-mel kepada [email protected] atau melalui WhatsApp ke nombor 016-2206262.