KLANG: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meminta jabatan dan agensi kerajaan berkaitan kawalan sempadan memperhebat penguatkuasaan serta kawalan di pintu masuk negara bagi menangani kemasukan kambing dan lembu murah serta diragui status kesihatannya menjelang Aidiladha akan datang.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata peningkatan kawalan khususnya di sempadan utara dan pantai timur Semenanjung dapat membantu usaha kementerian mengekang kemasukan ternakan itu secara tidak sah yang memberi kesan dari aspek persaingan harga kepada penternak tempatan.

"Langkah ini penting bagi membanteras penyeludupan kambing dan lembu yang tidak diketahui tahap kesihatannya masuk ke negara ini, yang turut menjadi faktor kejatuhan harga dan permintaan terhadap produk hasil penternak tempatan.

"Jika ternakan ini masuk tidak mengikuti proses undang-undang, ia akan mendatangkan banyak kesan kepada penternak kita terutama di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perak, dan atas faktor itu kita harap penguatkuasaan di sempadan dipertingkatkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Pengembangan Subsektor Tanaman Jabatan Pertanian Tahun 2024 di sini hari ini.

Terdahulu, Mohamad turut melancarkan kemudahan khidmat pengembangan bergerak dikenali sebagai Klinik Doktor Pokok yang menyediakan kemudahan seperti makmal mini (khidmat analisis air/tanah, diagnostik penyakit/perosak), bahan rujukan, ruangan perbincangan dan kemudahan pameran pada simposium yang berlangsung tiga hari bermula semalam.

Berhubung Klinik Doktor Pokok, beliau berkata setakat ini perkhidmatan berkenaan telah disediakan di empat negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Melaka serta Johor dan akan dikembangkan ke seluruh negara selepas ini.

Sementara itu, simposium yang dilaksanakan secara hibrid itu disertai kira-kira 1,000 peserta terdiri daripada pegawai pengembangan dari Jabatan Pertanian Malaysia termasuk Jabatan Pertanian Sabah dan Sarawak, pegawai kader Skim G (pertanian) yang berkhidmat di pelbagai kementerian, jabatan dan agensi serta petani/usahawan dari seluruh negara.

Sebanyak enam kertas kerja akan dibentangkan oleh pegawai daripada pelbagai kementerian termasuk perkongsian kejayaan oleh dua usahawan terpilih.

-- BERNAMA