IPOH: Kerjasama antara negeri perlu bagi meningkatkan pembangunan pelancongan yang seimbang, sekali gus menarik kehadiran pelancong di seluruh negara.

Timbalan Pengerusi Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Datuk Yeoh Soon Hin berkata negeri tidak seharusnya berkompetitif, sebaliknya menjadi pelengkap antara satu sama lain.

"Bagi Perak dan Pahang umpamanya boleh berkongsi membangunkan ekopelancongan. Perak juga berdekatan dengan Pulau Pinang dan boleh menjalankan konsep berkongsi sumber.

"Jadi, saya menyeru semua negeri supaya dapat menjalinkan banyak kerjasama untuk berkongsi industri pelancongan, malah inisiatif daripada sektor swasta dan ejen di setiap negeri pun kita harap dapat bekerjasama untuk bawa pelancong ke negeri lain juga," katanya pada sidang media bersempena dengan lawatan kerja ke Perak di Hobbitoon Village, Simpang Pulai di sini pada Selasa.

Beliau berkata pihaknya akan terus memantau usaha itu dan menyalurkan bantuan diperlukan di setiap negeri bagi memastikan pembangunan pelancongan yang seimbang.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee berkata pihaknya sedang meningkatkan usaha untuk memastikan pelancong yang hadir boleh kekal selama beberapa hari di negeri ini.

"Antara cabaran untuk Perak adalah bagi mendapatkan pelancong untuk berada lebih lama di Perak.

"Perak sebenarnya antara yang terkuat dalam sektor pelancongan domestik tetapi kita hendak meningkatkan lagi iaitu bukan sahaja mereka sekadar melalui Perak dalam perjalanan di antara Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Kita mahu mereka datang lebih sehari ke Perak," katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Perak juga mengadakan kerjasama dengan Tourism Malaysia bagi memperkenalkan kawasan pelancongan yang wujud di Perak.

"Pelancong banyak singgah di Perak untuk makan, oleh itu sektor gastronomi (tarikan makanan) adalah penting untuk negeri Perak tetapi sudah tentu kita juga hendak kehadiran mereka diisi dengan aktiviti pelancongan yang lain," katanya.

Beliau berkata Hobbitoon Village merupakan pusat tarikan pelancongan agro terbaharu yang terletak di dalam kawasan tanah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC).

Loh berkata lokasinya yang terletak berhampiran Cameron Highlands, Pahang juga merupakan antara usaha untuk menarik lebih ramai pelancong singgah di tempat-tempat menarik yang terdapat di kawasan tanah tinggi antara kedua-dua negeri.

-- BERNAMA