KUALA LUMPUR: Bagi melancarkan perjalanan penumpang, Rapid KL menambah 200 lagi kakitangan sokongan bagi mengawal situasi di empat stesen perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) bermula hari ini.

Antara stesen LRT terlibat adalah stesen Masjid Jamek, Hang Tuah, Bandaraya dan Plaza Rakyat.

Dalam pada itu, pihak Rapid KL turut menyediakan sebanyak 34 buah bas perantara percuma bermula hari ini dengan kekerapan 10 minit bergantung kepada keadaan lalu lintas.

Tinjauan Astro AWANI ke stesen Masjid Jamek dan Hang Tuah mendapati operasi pergerakan penumpang berjalan lancar pada sebelah pagi.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Rapid Rail Sdn Bhd, Amir Hamdan memberitahu 200 kakitangan sokongan ditempatkan pada waktu puncak.

“Pagi ini pihak kami melihat keadaan terkawal apabila pengguna masih dapat mengambil perkhidmatan bas ke stesen dituju.

“Pihak kami juga telah melantik consultant (penasihat) dan specialist contractor (pakar kontraktor) untuk memberi cadangan dan akan dimuktamadkan pada masa terdekat bagi kerja pembaikan dalam masa terdekat. Maklumat akan disampaikan dari masa ke semasa.

“Dengan beberapa inisiatif yang telah kami dilakukan, pihak kami menambah bilangan kakitangan lebih kurang 200 orang kakitangan yang menyokong pengawalan pergerakan penumpang di empat tempat yang empat stesen iaitu Bandaraya, Jamek, Plaza Rakyat dan Hang Tuah. Alhamdulillah nampak kegiatan amat terkawal,” katanya.

Kredit: Astro AWANI

Kredit: Astro AWANI

Dalam pada itu, salah seorang pengguna LRT, Shakira Mohd Nor memberitahu perjalanan lebih lancar berbanding Jumaat lalu.

“Saya tinggal di Klang dan turun di KL Sentral sebelum sampai ke pejabat. Alhamdulillah perjalanan hari ini lebih baik dari Jumaat lepas, lancar sampai ke pejabat. Bagi yang boleh bawa kereta, saya sarankan untuk bawa kereta,” katanya yang ditemui di stesen LRT Masjid Jamek, sebentar tadi.

Kredit: Astro AWANI

Peniaga bubur di stesen LRT Masjid Jamek Muhammad Khair Ahamad Hasaini berharap operasi LRT perkhidmatan LRT dapat diteruskan seperti sedia kala secepat mungkin.

“Sebelum ini, selalu dalam waktu-waktu macam ni memang ramai. Dalam 50 mangkuk, kadang-kadang kalau esoknya dalam 42 lebih macam tu. Sekarang kurang sikit, mungkin dalam 20 atau 30 mangkuk dalam sehari. Saya harap operasi lancar semula dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, inisiatif ini merupakan komitmen Rapid KL dalam memastikan mutu perjalanan perkhidmatan yang diberikan kepada pengguna adalah sentiasa pada tahap terbaik.

Dalam pada itu, bilangan bas perantara percuma juga akan ditambah bermula hari ini (30 Januari 2023) dengan kekerapan 10 minit bergantung kepada keadaan lalu lintas.

Semalam, Rapid KL mengumumkan lanjutan waktu puncak LRT laluan Ampang/ Sri Petaling & Monorel dilaksanakan bagi mengurangkan kesesakan di beberapa stesen rel khususnya di stesen pertukaran Masjid Jamek dan Hang Tuah.

Waktu puncak dipanjangkan dari jam 6.30 pagi hingga 10.30 pagi berbanding jadual asal iaitu 7 pagi hingga 9.30 pagi. Manakala waktu puncak petang pula akan dipanjangkan dari jam 4.30 petang hingga 8.30 malam berbanding jadual asal iaitu 5 petang hingga 7.30 malam.