AYER KEROH: Tindakan sebuah ladang ternakan memalsukan gred telur ayam yang dijual di pasaran membawa padah apabila dijatuhi hukuman denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini.

Syarikat Ladang Ternakan Prudence Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya dikenakan denda berkenaan selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu didapati membekalkan 1,500 biji telur ayam gred B yang menggunakan satu perihal dagangan palsu membabitkan saiz telur berkenaan yang tidak mengikut standard ditetapkan.

Kesalahan itu dikesan kira-kira jam 10.48 pagi di sebuah pasar raya borong di Plaza Pandan Malim, Balai Panjang, Melaka Tengah, Melaka pada 22 Oktober 2021 lalu.

Mengikut fakta kes, pemalsuan gred telur ayam berkenaan dikesan oleh Bahagian Penguatkuasa Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka selepas menerima aduan daripada orang awam susulan telur gred B yang dijual disyaki adalah telur gred D.

Uji timbang dilakukan oleh pihak serbuan mendapati timbangan telur gred B yang dijual adalah antara 0.5 hingga 0.56 gram kurang daripada standard berat yang ditetapkan oleh ‘Malaysian Standard Fresh Chicken Eggs-Specification’.

Justeru syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 dibaca bersama Seksyen 6(1)(b) akta sama yang boleh didenda sehingga RM250,000 bagi kesalahan pertama manakala RM500,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan pegawai pendakwa KPDNHEP Melaka, Muhamad Ashraf Nashruddin Ahmad Nazri memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada individu lain.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan dengan alasan tidak pernah melakukan sebarang kesalahan sepanjang 10 tahun berniaga selain mengakui kecuaian.

Hakim Nariman pada penghakimannya kemudian menetapkan hukuman denda RM15,000 serta tiga bulan penjara sekiranya gagal melunaskan denda berkenaan.