MALAYSIA
Tipu pembayaran guna NFC, dua wanita didenda RM30,000

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM150,000 atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Dua pemandu e-hailing masing-masing didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan penipuan pembayaran menggunakan cara sentuhan Komunikasi Medan Dekat (NFC) melalui telefon bimbit mereka di beberapa pusat beli-belah di ibu negara, awal Jun lepas.
Hakim Suhaila Haron menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau empat bulan penjara bagi setiap pertuduhan terhadap Chong Yin Hong, 42, dan Chong Li Shian, 39, selepas mereka menukar pengakuan kepada bersalah semasa sebutan kes hari ini dan kedua-dua tertuduh membayar denda itu.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan secara bersama, Yin Hong dan Li Shian didakwa dengan niat bersama telah melakukan capaian tanpa kuasa dan melakukan kesalahan penipuan pembayaran menggunakan transaksi wang yang palsu di beberapa pusat beli-belah antara 4 dan 11 Jun lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM150,000 atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya.Mengikut fakta kes, pada 10 Jun lepas pengadu yang merupakan pengurus di Bahagian Siasatan Fraud Maybank telah menerima beberapa aduan daripada pelanggan mengenai transaksi mencurigakan oleh beberapa individu yang membuat bayaran menggunakan NFC dengan telefon bimbit yang telah disambungkan kepada kad kredit luar negara.
Berdasarkan maklumat yang diterima, pihak bank telah menjalankan siasatan dan mendapati kedua-dua tertuduh membuat bayaran dengan menyentuh telefon bimbit ke terminal EDC Maybank menggunakan kod kelulusan 'VIP111', hingga menyebabkan terminal pembayaran tergendala.
Hasil siasatan mendapati telefon milik Yin Hong mempunyai beberapa aplikasi yang digunakan kedua-dua tertuduh untuk melakukan pembayaran secara palsu tersebut.
Selain itu, rakaman kamera litar tertutup juga menunjukkan pembelian oleh kedua-dua tertuduh berlaku di beberapa lokasi pusat beli belah berkenaan serta barangan yang dirampas sama seperti barangan yang tertera dalam resit pembelian.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nursyuhada Husna Sulaiman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada kedua-dua tertuduh.
Bagaimanapun, peguam Muhammad Naqib Aiman Mohd Faizal yang mewakili kedua-dua wanita itu memohon hukuman berbentuk denda ringan atas alasan anak guamnya merupakan pesalah kali pertama dan perlu menanggung ibu bapa yang telah berusia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami