MELAKA: Berbaki beberapa hari menuju Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), fokus terhadap kebersihan dan keceriaan di lapan pintu masuk ke Melaka terus diberi perhatian oleh kerajaan negeri melalui empat pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai persiapan mengalu-alukan kedatangan 18 juta pelancong dan pengunjung.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata lapan pintu masuk merupakan tarikan awal untuk pengunjung ke Melaka dan akan memberikan impak besar terhadap imej negeri.

"Kerajaan negeri melalui jentera PBT kini sedang giat menaik taraf kebersihan kawasan, keindahan landskap, keceriaan elemen pencahayaan serta papan-papan tanda di setiap pintu masuk ke negeri Melaka," katanya kepada Bernama.

Rais berkata selaku pintu masuk popular dari arah utara tanah air, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) kini giat melakukan kerja-kerja menaik taraf keceriaan yang merangkumi kawasan Simpang Tol Ayer Keroh, Gerbang Ayer Keroh, Laluan Tol Ayer Keroh hingga Melaka Mall, bawah jejambat Simpang Tol Ayer, bawah jejambat Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Kota Cemerlang Ayer Keroh, Lepak Station Ayer Keroh, Bulatan Seri Negeri dan Bulatan MITC.

"Kerja-kerja menaik taraf keceriaan landskap di kawasan-kawasan ini telah mencapai 95 peratus manakala bagi pelaksanaan kerja-kerja cat dan dekorasi pencahayaan yang bermula pada awal November lepas, kita jangka siap sepenuhnya pada awal Januari 2024," katanya.

Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) juga sedang dalam proses meningkatkan keceriaan empat lagi pintu masuk utama ke negeri ini yang terdapat di dalam daerah Alor Gajah iaitu Tebong, Pulau Sebang, Cherana Putih dan Simpang Ampat.

"Projek naik taraf pintu-pintu masuk di daerah Alor Gajah ini dijangka siap sepenuhnya bulan ini dan sejumlah RM736,000 telah dibelanjakan bagi kerja-kerja menaik taraf keceriaan landskap di sekitar daerah itu," katanya.

Beliau berkata Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) pula memperuntukkan RM200,000 untuk meningkatkan tahap kebersihan dan keceriaan landskap di seluruh kawasan Jasin termasuk di laluan pintu masuk di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di Sungai Rambai, Chohong, Asahan-Jementah dan pekan lama Sungai Rambai.

Rais berkata bagi kerja-kerja menaik taraf elemen pencahayaan di seluruh negeri pula, kerajaan negeri melalui PBT membelanjakan sebanyak RM11.272 juta bagi TMM 2024.

Beliau berkata daripada keseluruhan peruntukan tersebut, sebanyak RM6.602 juta disalurkan di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), RM650,000 (MPAG), RM2.240 juta (MPJ) dan RM1.79 juta (MPHTJ).

Kerja-kerja menaik taraf pintu masuk melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Melaka juga sedang giat dijalankan untuk menarik lebih ramai pelancong dari Indonesia menggunakan laluan laut menerusi pintu masuk tersebut.

Katanya antara penambahbaikan yang sedang giat dilakukan adalah projek mendalamkan sungai yang dilaksanakan sejak Ogos lepas dan dijangka siap dalam masa terdekat.

"Kawasan ini didalamkan bagi memudahkan feri keluar masuk sementara prasarana yang lain semuanya amat baik dan mengikut standard antarabangsa," katanya.

-- BERNAMA