Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan pelantikan Shahazwan Harris sebagai Ketua Pegawai Antarabangsa (CIO) untuk memimpin sebuah bahagian baharu TNB, International Asset Group (IAG) mulai 1 Julai 2019.

“Pengurusan TNB yakin pengetahuan, pengalaman dan pendedahan yang diperolehi Shahazwan mampu mendukung pertumbuhan masa depan perniagaan IAG,” kata Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah Azizan.

Menurut Amir, pelantikan itu berdasarkan pengalaman Shahazwan selama 23 tahun dalam pelbagai sektor seperti tenaga, telekomunikasi, teknologi, utiliti, penerbangan, pembangunan mampan, minyak dan gas serta penjagaan kesihatan.

Tambah beliau, pengalaman itu amat bernilai kepada strategi jangka panjang TNB untuk menjadi antara 10 Utiliti Global teratas pada 2025.

Bahagian IAG ditubuhkan untuk memperluaskan prospek pertumbuhan usaha sama luar negara TNB.

Ketika ini, perkembangan antarabangsa TNB merangkumi pemilikan ekuiti dalam aset berkaitan tenaga di United Kingdom, Turki, India, Arab Saudi dan Pakistan.

Shahazwan kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Strategi dan Transformasi di UEM Edgenta Berhad.

Selain itu, beliau turut merupakan seorang ahli lembaga pengarah UMW Holdings Berhad dan juga ahli jawatankuasa penasihat StashAway, iaitu sebuah platform penasihat kewangan di Malaysia dan Singapura.

Shahazwan merupakan penerima biasiswa TNB dan pernah berkhidmat bersama syarikat tersebut selama empat tahun sejak 1996.

Kemudian, beliau mendapat pengalaman bekerja di PA Consulting Group, Boston Consulting Group dan Khazanah Nasional Berhad.

Ketika di Khazanah, kerjaya beliau merentasi benua Asia dan Eropah.

Susulan itu, Shahazwan menyertai lembaga pengarah Cenviro, Opus International Consultants Limited dan UEM Edgenta Berhad; selain menjadi penasihat kepada Bain & Co dan Temasek International.