KUANTAN: Tenaga Nasional Bhd (TNB) dijangka melakukan kerja-kerja penyambungan bekalan elektrik di Kuala Sat, Jerantut pada Ahad ini.
TNB CareLine menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan permohonan berkaitan telah diterima melalui kontraktor pada hujung Disember 2025.
Justeru, TNB juga telah mengemukakan permohonan kepada pihak berkaitan pada Januari 2026 bagi membolehkan kerja-kerja penanaman tiang dilaksanakan.
Menurut TNB, pelaksanaan kerja di lokasi juga tertakluk kepada kelulusan pihak berkaitan termasuk dari aspek keselamatan, teknikal serta pematuhan status tanah dan izin lalu.
“Susulan perkembangan terkini, TNB telah diberi kebenaran untuk meneruskan kerja-kerja penanaman tiang pada 17 Mei lepas.
“Kerja-kerja penanaman telah bermula Rabu (20 Mei) dengan sasaran memulakan tugas penyambungan bekalan pada 24 Mei,” menurut hantaran itu.
TNB turut memaklumkan pihaknya memahami keperluan bekalan elektrik sebagai kemudahan asas penting kepada kehidupan harian sesebuah keluarga.
Selain itu, syarikat utiliti berkenaan akan terus bekerjasama dengan pihak berkaitan dan meneliti perkara tersebut bagi memastikan kes seumpama ini dapat diuruskan dengan lebih teratur serta inklusif bersama-sama pihak berwajib yang berkenaan pada masa hadapan.
Terdahulu, tular video seorang lelaki memegang plakad di bahu jalan bagi menarik perhatian Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memaklumkan mengenai masalah bekalan elektrik yang dihadapi kepada baginda.
Al-Sultan Abdullah, yang mengadakan lawatan ke daerah berkenaan, kemudian dilihat memberhentikan kenderaan dan menyantuni lelaki itu.
-- BERNAMA