KUALA LUMPUR: Bekalan elektrik di 37 daripada 40 kawasan di sekitar ibu negara yang terjejas akibat banjir kilat berjaya dipulihkan sepenuhnya oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) setakat jam 10 malam Isnin.

TNB menerusi kenyataan berkata, tiga lagi kawasan yang masih terjejas akibat penutupan bekalan elektrik sementara oleh TNB adalah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Impiana Hotel KLCC dan Menara Perak.

"Bekalan terpaksa dihentikan sementara demi keselamatan pengguna. Pasukan teknikal TNB sedang giat menjalankan kerja-kerja pemulihan bekalan yang akan disalurkan secara berperingkat.

"Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada apabila hujan lebat yang menenggelamkan pepasangan TNB," katanya.

Banjir kilat melanda Lembah Klang sejak petang Isnin susulan hujan lebat menyebabkan bekalan elektrik di 40 kawasan di ibu negara itu terpaksa ditutup seketika.

Menurut TNB, kesabaran dan keprihatinan pengguna semasa kerja-kerja baik pulih sedang berjalan amat dihargai.

Katanya, orang ramai yang mempunyai pertanyaan mengenai bekalan elektrik atau mahu membuat aduan berkaitan pepasangan TNB boleh hubungi TNB CareLine di talian 15454 atau Facebook TNB CareLine.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.