Tokyo: Mazda umumkan konsep RX-Vision. Selamat kembali, rotari!

Di Pameran Kereta Tokyo yang sedang berlangsung di Jepun sekarang, Mazda telah menampilkan sebuah kereta sport konsep yang dikuaskan enjin rotari Skyactiv-R generasi terkini. Tidak ubah seperti apa yang telah Mazda RX-7 hasilkan pada awal kemunculannya, penggunaan enjin rotari inilah yang menjadikannya lebih istimewa.
Dari segi kejuruteraan, ia seimbang depan:belakang melalui konfigurasi enjin di hadapan dan pacuan roda belakang. Dinamakan sebagai RX-Vision, ia mewakili pandangan Mazda untuk masa hadapan.
Keunikan enjin rotari adalah pada cara ia menghasilkan kuasa; pusingan rotor berbentuk segi tiga memang jauh berbeza daripada cara biasa iaitu penggunaan piston yang bergerak. Ia mula digunakan Mazda pada model Cosmo Sport 110S pada 1967 (gambar bawah) sebelum, seperti kita katakan sebentar tadi, dipopularkan dengan jayanya dengan RX-7.
Namun, teknologi enjin ini mula hilang nilai relevannya bermula lebih kurang pada 2007 kerana, antara lain, isu ketahanan, penggunaan bahan api dan kualiti gas ekzos.
Hari ini, Mazda sudah tidak lagi menghasilkan enjin-enjin rotari. Tetapi mereka juga tidak pernah menghentikan penyelidikan. Dengan teknologi Skyactiv-R yang baharu ini, Mazda yakin ia akan dapat mengembalikan prestasi enjin rotari yang memang lain daripada lain.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

