KUALA LUMPUR: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang komen mengenai kertas siasatan yang merujuk kepada kes Sistem Visa Luar Negara (VLN) yang kini masih dalam proses perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pasukan Peguam Pembelaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengeluarkan nasihat itu berkata, ia kerana tindakan itu menjurus kepada elemen sub judice.

“Kuasa budi bicara atau sebaliknya (prosecutorial discretion or indiscretion) dan kekurangan atau kecacatan dalam siasatan adalah antara isu yang sedang dibicarakan.

“Segala komen yang telah dibuat oleh bekas Peguam Negara yang disiarkan oleh Malaysiakini di bawah tajuk "Lejar UKSB: Bekas AG kata kertas siasatan tiada 'maklumat mikro'" adalah bersifat penghinaan Mahkamah,” jelas peguam Ahmad Zahid dalam kenyataan pada Khamis.

BACA: Dana politik: SPRM siasat nama yang disebut dalam kes Zahid Hamidi 

BACA: "Saya tidak pernah terima apa-apa wang daripada UKSB" - Khairy 

Sebelum ini, portal Malaysiakini melaporkan, Thomas menjelaskan mengapa beliau tidak mendakwa individu lain yang terlibat dalam kes itu, selain Zahid.

Ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah Zahid, Jumaat lalu, bekas pengurus pentadbiran Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), David Tan, mendakwa dia menyimpan lejar “menteri, ahli politik dan kakitangan kerajaan” yang menerima dana daripada syarikat itu.'

BACA: Muhyiddin nafi terima dana politik RM1.3 juta, sifatkan dakwaan palsu 

BACA: Reezal nafi dakwaan terima dana daripada UKSB

Selain Zahid, lejar itu didakwa turut menyebut nama bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Nama lain ialah bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal juga berada dalam senarai penerima dana daripada syarikat itu.

Muhyiddin, Khairy, Hishammuddin, Reezal dan Anifah kemudian menafikan menerima sebarang dana daripada UKSB, pengendali Pusat Sehenti di China dan Sistem Visa Asing (VLN).