MALAYSIA
Townhall 'Hentikan Buli' platform Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sedia laporan untuk dibahas

Johari berkata maklum balas yang diperoleh melalui sesi berkenaan akan digarap oleh Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat di bawah Parlimen Malaysia bagi menghasilkan laporan lengkap untuk dibentangkan di Parlimen.
KUALA LUMPUR: Sesi dialog awam (townhall) 'Hentikan Buli: Suara Rakyat, Tanggungjawab Kita' hari ini menjadi platform penting untuk masyarakat termasuk guru, kaunselor, ibu bapa dan pelajar berkongsi pengalaman serta cadangan dalam usaha menangani isu buli secara lebih berkesan.
Ringkasan AI
- Sesi dialog awam Hentikan Buli: Suara Rakyat, Tanggungjawab Kita menjadi platform penting untuk masyarakat berkongsi pengalaman dan cadangan dalam menangani isu buli, dengan maklum balas akan dibukukan dan dibentang di Parlimen oleh Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat.
- Tan Sri Johari Abdul menekankan keperluan penyelesaian menyeluruh terhadap isu buli, termasuk buli mental, serta meminta laporan disiapkan segera untuk dibahas pada sidang Parlimen November ini.
- Johari turut berkongsi pengalaman peribadi sebagai mangsa buli dan mengendalikan kes pelajar Malaysia dibuli di luar negara, menunjukkan isu buli berlaku secara meluas dan memberi kesan mendalam sepanjang hayat.
"Insya-Allah saya akan membenarkan debat berlaku supaya seluruh negara tahu bahawa jawatankuasa ini memandang serius apa yang sedang berlaku.
"Kita harap dapat gesa kerajaan untuk merangka penyelesaian yang serius bagi untuk selesaikan masalah buli ini secepat mungkin supaya kita dapat selamatkan lebih ramai lagi anak-anak kita," katanya ketika berucap pada pelancaran sesi pertama dialog awam itu di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen hari ini.
Johari ketika ditemui media selepas sesi itu berkata beliau telah meminta Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat Yeo Bee Yin mempercepatkan penyediaan laporan berkenaan bagi membolehkan ia dibentang serta dibahas pada sidang Parlimen November ini.
"Lebih cepat laporan itu siap, lebih baik. Difahamkan Pengerusi (Yeo) akan mengadakan beberapa lagi sesi townhall ini termasuk di luar Kuala Lumpur, jadi kita akan lihat secepat mana laporan dapat disiapkan sebelum dibentang," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa isu buli, terutamanya buli mental merupakan cabaran besar yang menuntut penyelesaian menyeluruh dengan penglibatan kerajaan, institusi pendidikan serta masyarakat.
Johari turut berkongsi pengalaman peribadi sebagai seorang anak penoreh getah yang pernah melalui episod buli sejak di bangku sekolah hingga ke universiti, malah ketika bertugas sebagai Pengarah Pelajar Malaysia di Amerika Syarikat (AS), beliau pernah mengendalikan kes pelajar negara ini yang dibuli di luar negara.
"Saya sendiri pernah mengalami situasi buli, bukan sahaja fizikal tetapi juga mental dan saya tahu kesan buli mental ini sangat dalam dan kekal seumur hidup.
"Saya masih ingat seorang pelajar perempuan dari Terengganu menelefon saya dari Montana (AS) sambil menangis, mahu pulang kerana tidak tahan dibuli. Ini menunjukkan isu buli bukan hanya di Malaysia tetapi di mana-mana," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami