NATIONAL
Toyota Alphard Ustaz Firdaus Firabib sudah jumpa, dron dan kamera lesap

Kenderaan mewah jenis Toyota Alphard milik Ustaz Firdaus Firabib yang hilang pada Sabtu telah ditemukan di Bukit Merah, Perak.
SUNGAI PETANI: Kenderaan mewah jenis Toyota Alphard milik Ustaz Firdaus Firabib yang hilang pada Sabtu telah ditemukan di Bukit Merah, Perak.
Ustaz Firdaus atau nama sebenar Mohd Firdaus Mat Akhir dalam satu hantaran video di TikTok memaklumkan, sudah selesai urusan berkaitan perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada Isnin.
Pengerusi dan Imam Masjid Al-Busyra Merbok itu turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua pihak sehingga menemui semula kenderaan miliknya yang dilaporkan hilang sebelum ini.
"Alhamdulillah dapat dah sekarang saya nak bubuh nombor pendaftaran kenderaan... saya nak balik dan saya nak ucapkan terima kasih pada semua yang terlibat... yang tolong viral, yang tolong doa, yang 'support' dekat Ipoh ni, satu Malaysia yang kongsi."Disebabkan hampa viral dan doa, orang yang sepatutnya nak bawa kereta ini depa jadi takut.
"Kita dapat dengan selamat, tiada apa berlaku cuma ada beberapa barang hilang termasuk kamera dan dron," jelasnya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Ustaz Firdaus menyediakan saguhati kepada mana-mana pihak sehingga kenderaan mewah miliknya yang hilang semasa diparkir di sebuah hotel di Sungai Senam, Ipoh, Perak ditemui.
Beliau yang juga merupakan Pengarah Urusan Firabib Group Sdn Bhd menjelaskan bahawa kehadirannya ke negeri itu ialah bagi tujuan mempromosikan perniagaan miliknya, Nasi Kabsah bersama Tehyeish bermula 15 hingga 18 Mei di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad sebelum ini berkata, hasil siasatan awal dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan, kenderaan itu dilihat keluar melalui pintu sisi tempat penginapan tersebut pada awal pagi Sabtu. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami