KUALA LUMPUR: Di sebalik kepesatan gelombang Kecerdasan Buatan (AI) dan automasi yang melanda pasaran buruh, Malaysia berdepan realiti membimbangkan apabila hampir 37 peratus pekerja berkemahiran direkodkan tidak bekerja pada suku tahun 2026.
Perkara itu didedahkan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan yang menyifatkan situasi berkenaan sebagai amaran jelas terhadap isu ketidakpadanan kemahiran dan peluang pekerjaan dalam pasaran semasa negara.
Menurut beliau, daripada keseluruhan 16.8 juta tenaga kerja di Malaysia, jurang tersebut dipengaruhi tiga faktor utama iaitu ketiadaan peluang pekerjaan yang setimpal, ketidaksesuaian kemahiran dengan permintaan industri, serta tawaran gaji yang tidak kompetitif.
"Konsep bakat kalis masa hadapan (future-proof talent) sepatutnya sudah digerakkan secara serius lima hingga enam tahun lalu. Hari ini, kita tidak boleh menafikan wujud masalah besar dari sudut bakat tenaga kerja.
"Persoalannya, apakah kita masih mahu berpuas hati dan selesa dengan keadaan sekarang, atau melipatgandakan penglibatan rentas kementerian serta agensi secara agresif?" soalnya kembali.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi Dialog Menteri sempena Majlis Pelancaran Kerangka Kemahiran Masa Hadapan bagi Sektor Komunikasi dan Multimedia (C&M FSF) di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri, di sini, pada Isnin.
Sesi dialog itu turut menampilkan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, dengan dikemudi Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail sebagai moderator.
Mengulas lanjut, Khairul Firdaus menegaskan bahawa keberkesanan Dasar Sumber Manusia Negara 2026–2035 tidak akan mencapai tahap optimum sekiranya isu ketidakseimbangan pembangunan infrastruktur antara negeri gagal ditangani.
"Kita tidak boleh hanya melihat Lembah Klang menikmati kemajuan pesat. Di negeri-negeri luar, jurang infrastruktur masih luas dan ini hakikat yang membantutkan pelaksanaan dasar tenaga kerja.
"Teknologi berkembang sangat pantas, tetapi jika infrastruktur asas di negeri-negeri tidak bergerak seiring, dasar yang kita rangkakan sukar untuk direalisasikan sepenuhnya," jelasnya.
Bagi menstruktur semula pasaran buruh, kementeriannya (KESUMA) kini memberi tumpuan kepada empat teras utama: memastikan pekerja lebih produktif, membuka laluan perkembangan kerjaya, menjamin pendapatan lebih bermakna, serta menyediakan perlindungan keselamatan sosial yang sewajarnya.
Usaha ini digerakkan menerusi empat agensi utama iaitu TalentCorp, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), HRD Corp, dan PERKESO menerusi platform MyFutureJobs yang kini diperkasakan dengan teknologi pemadanan kerja berasaskan AI.
Selain itu, perlindungan terhadap pekerja gig turut diperkukuhkan menerusi penguatkuasaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang memperuntukkan kawal selia perjanjian perkhidmatan dan penubuhan tribunal penyelesaian pertikaian bagi membela nasib pekerja sektor tidak formal.