MALAYSIA
TPR arah polis lengkapkan siasatan kes doktor berkelakuan tidak senonoh

Mohd Alwi berkata doktor itu sebelum ini bertugas di sebuah hospital kerajaan di daerah Timur Luar dan selepas ditahan polis atas berkelakuan tidak senonoh, beliau dipindahkan ke sebuah klinik kerajaan di daerah Barat Daya. - Gambar fail/Bernama
GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menerima arahan pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk melengkapkan siasatan berhubung kes seorang doktor yang ditahan sebanyak empat kali kerana dipercayai berkelakuan tidak senonoh dan mencabul pesakit wanita.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata doktor lelaki berusia 43 tahun itu ditahan melibatkan tiga kes yang dilaporkan di daerah Timur Laut pada Februari dan Mac lepas, manakala satu lagi kes di daerah Barat Daya baru-baru ini.
"Bagi tiga kes yang dilaporkan di daerah Timur Laut, pihak polis telah melengkapkan siasatan dan menghantar kertas siasatan ke pejabat TPR untuk tindakan dan arahan selanjutnya.
"Namun baru-baru ini, kami menerima arahan daripada pejabat TPR untuk menambah dan melengkapkan lagi siasatan bagi kes-kes itu, dan pihak polis sedang melakukannya sebelum menghantar semula kepada TPR untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.Bagi kes di daerah Barat Daya pula, beliau berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut terhadap dakwaan doktor itu mencabul seorang pesakit wanita dalam kejadian baru-baru ini.
Mohd Alwi berkata dalam kejadian itu, doktor berkenaan sedang bertugas sebagai doktor lokum di sebuah klinik swasta di Bayan Baru dekat sini dan polis akan merekodkan beberapa keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan.
Beliau berkata doktor itu sebelum ini bertugas di sebuah hospital kerajaan di daerah Timur Luar dan selepas ditahan polis atas berkelakuan tidak senonoh, beliau dipindahkan ke sebuah klinik kerajaan di daerah Barat Daya.
Doktor itu ditahan dalam kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya pada 8 malam Isnin lepas selepas diminta hadir bagi membantu siasatan setelah polis menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa diarahkan menanggalkan baju sebelum menyentuh kedua-dua payudaranya ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta.
Beliau berkata lelaki itu direman selama tiga hari sehingga 23 Julai lepas bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan sebelum dia dibebaskan dengan jaminan polis sementara kertas siasatan dilengkapkan.
Media sebelum ini melaporkan seorang doktor ditahan tiga kali selepas dilapor berkelakuan tidak senonoh di sebuah hospital kerajaan dan dua klinik swasta di daerah Timur Laut, membabitkan tiga mangsa wanita.
Polis menjalankan siasatan terhadap lelaki itu di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami