KUALA TERENGGANU: Penggunaan tenong atau lebih dikenali sebagai mangkuk tingkat sangat popular di suatu ketika dahulu khususnya di bulan Ramadan.

Ketika itu, setiap kali penganjuran majlis berbuka puasa di kampung, penduduk akan membawa pelbagai juadah sambil bertukar hidangan di dalam tenong masing-masing.

Bukan itu sahaja, makanan yang menghiasi lapisan tenong berkenaan juga menepati cita rasa penduduk setempat termasuklah hidangan ikan singgang yang tidak asing di Terengganu.

Bagi mengimbau semula kenangan yang semakin terhakis terutamanya dalam kalangan golongan muda, Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) komited menghidupkan kembali tradisi berkenaan, dengan menganjurkan program berbuka puasa.

Semua ahli diminta membawa juadah menggunakan tenong sambil makan bersila di atas tikar, baru-baru ini.

Semua ahli diminta membawa juadah menggunakan tenong sambil makan bersila di atas tikar, baru-baru ini.

Presidennya, Ahmad Syafri Husnaini Mohamad berkata inisiatif yang dilaksanakan itu juga bagi memartabatkan semula warisan budaya dan tradisi generasi terdahulu yang semakin dilupakan .

Katanya sudah menjadi amalan masyarakat terdahulu bertukar juadah dalam tenong, yang secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturahim.

"Sekarang ini agak sukar untuk kita lihat tradisi yang hidup sejak sekian lama, terutamanya di bandar-bandar kerana mereka lebih terdedah dengan trend potluck dan sebagainya.

"Jadi kita cuba menghidupkan kembali acara seperti ini bagi memberi pengalaman kepada ahlu, termasuk  pengamal media yang berasal dari luar Terengganu merasai dan mendalami tradisi itu," katanya.

Menerusi pengajuran program itu lebih 100 pengamal media dari pelbagai agensi di Terengganu dan ahli keluarga berjaya dihimpunkan. Ia turut mendapat sokongan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris.

Sementara itu, Razali berkata, beliau berhasrat  majlis berbuka puasa berkonsepkan tradisi Melayu itu terus diperhebatkan

Katanya, konsep yang diketengahkan Kawat cukup menarik dan dapat membantu  mempromosikan sektor pelancongan Terengganu.

“Acara tersebut sangat meriah dan boleh dimasukkan dalam kalender pelancongan negeri selepas ini untuk menarik kunjungan pelancong ke negeri ini pada bulan Ramadan,” katanya.