Peningkatan kenderaan petang ini menyaksikan aliran trafik di lebuh raya terutama dari arah utara dan selatan mula perlahan dan berlaku sedikit kesesakan di beberapa kawasan.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus Expressway Berhad ketika dihubungi Bernama berkata trafik mula sesak bermula dari Sungai Petani arah selatan ke Juru, Kedah dan dari Simpang Pulai ke Tanjung Malim, Perak.

"Trafik juga sesak di kedua-dua arah di Jambatan Pulau Pinang. Di Perak pula di Km 237 Bukit Gantang ke Bukit Berapit sesak akibat kawasan berbukit serta Sungai Perak ke Terowong Menora," katanya.

Beliau berkata dari arah selatan, trafik bergerak perlahan sebelum Tol Air Hitam, Johor serta Seremban ke Nilai, Negeri Sembilan berikutan pertambahan kenderaan.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik di seluruh Lembah Klang, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Kesas dan Lebuhraya Pantai Baru (NPE) bergerak lancar kecuali di Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

"Trafik mula sesak dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah, dari Plaza Tol Bentong ke Bukit Tinggi serta sekitar Plaza Tol Jabor, Pahang," katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.