Pergerakan trafik penumpang antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) mencatatkan kadar pertumbuhan 28 peratus antara Januari dan Oktober 2016.

Dalam satu kenyataan, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata pertumbuhan dua angka itu merupakan hasil daripada penggabungan operasi, yang membolehkan kapasiti lebih besar untuk menampung jumlah penumpang yang lebih tinggi.

"Sementara itu, statistik menunjukkan lapangan terbang itu mencatatkan pertumbuhan penumpang domestik dan antarabangsa sebanyak 10 peratus setakat ini tahun ini.

"Pertumbuhan yang kukuh ini disumbangkan oleh prestasi kukuh pelbagai syarikat penerbangan, terutama Kumpulan Air Asia, Jin Air dari Korea Selatan, dan 16 syarikat penerbangan lain yang beroperasi di KKIA," katanya.

Beliau berkata Lembaga Pelancongan Sabah melaporkan ketibaan 2.5 juta pelawat domestik dan antarabangsa ke Sabah dalam tempoh Januari hingga September 2016, meningkat 5.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

MAHB berkata KKIA mengendalikan purata 180 penerbangan dan kira-kira 18,000 penumpang sehari, namun pada musim cuti akan datang, lapangan terbang itu menjangkakan mengurus kira-kira 20,000 penumpang sehari. - BERNAMA