PIHAK bomba percaya jumlah mangsa tanah runtuh Bukit Kukus berpunca runtuhan tanah menimpa di kawasan penempatan sementara milik kontraktor.

Ini kerana, semua pekerja berada di kediaman masing-masing selepas pihak berkuasa memberi arahan supaya memberhentikan projek susulan kejadian runtuhan rasuk minggu lalu.

Menurut Pengarah Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Saadon Mokhtar, arahan itu susulan kejadian runtuhan rasuk di kawasan berdekatan minggu lepas.

“Sebenarnya projek ini telah diberhentikan oleh pihak berkuasa. Ini kerana ada kejadian tanah runtuh sebelum ini.

“Jadi mengapa mangsa atau mereka (pekerja buruh binaan) yang ada di sekitar ini itu kita belum dapat pengesahan yang sah dari kontraktor,” jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini pada Jumaat.




Bomba masih belum mengenal pasti punca kejadian. Walaupun tiada hujan ketika kejadian, tetapi hujan lebat di awal pagi dipercayai menjadi punca berlaku aliran air bawah tanah.

Setakat ini, tiga yang maut dikenal pasti sebagai warga asing manakala tujuh lagi buruh binaan dikhuatiri masih lagi tertimbus selepas kontena didiami mereka terbabit dalam kejadian tanah runtuh.

BACA: Tanah runtuh Bukit Kukus: 2 maut, 7 masih hilang

“Seperti mana yang telah kita maklumkan, pihak kami sudah mengenal pasti tiga mangsa, dua daripadanya warga Indonesia, seorang lagi warga Myanmar.

“Kesahihan identiti mangsa disahkan oleh isteri dan kenalan rapat di sini. Saya juga percaya mungkin lebih ramai lagi mangsa yang terlibat,” ujarnya.

Sementara itu, pihak bomba akan meneruskan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa yang masih tertimbus dengan bantuan dari agensi yang terlibat.

Tegas Saadon, keselamatan anggota penyelamat juga diutamakan agar tiada kemalangan dalam kalangan anggota penyelamat.