Seorang wanita warga emas maut manakala empat lagi termasuk tiga kanak-kanak cedera dalam satu kemalangan di Kampung Banjar, dekat sini pagi tadi.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar, Penguasa Bomba Sukairi Abd Latif maklumkan pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian sekitar 9.45 pagi dan segera ke lokasi.

Setibanya di lokasi bomba mendapati sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza telah terbabas ke dalam parit dan dua orang tersepit berikutan insiden itu.

Anggota BBP Ayer Tawar menggunakan alat pemotong khas bagi mengeluarkan mangsa dan menyerahkan mereka kepada pihak polis bagi tindakan lanjut. - Foto Astro AWANI/Nazaliata Maharan
“Tiga lagi mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam dan keseluruhan insiden melibatkan seorang perempuan dewasa serta dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan yang mengalami kecederaan.

“Seorang warga emas wanita yang turut berada dalam kemalangan itu disahkan maut oleh pegawai perubatan,”katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Seorang warga emas wanita yang turut berada dalam kemalangan itu disahkan maut oleh pegawai perubatan. - Foto Astro AWANI/Nazialita Maharan
Katanya, anggota BBP Ayer Tawar menggunakan alat pemotong khas bagi mengeluarkan mangsa dan menyerahkan mereka kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.

Menurut Sukairi, operasi tamat sepenuhnya sekitar jam 11.50 tengahari.