BIDOR: Jenazah mangsa pertama tragedi kepala air di Sungai Kenjur, Kampung Poh di sini yang mengorbankan empat sekeluarga selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pekan Bidor, di sini, pada Khamis.

Aszura Bani, 37, disemadikan selepas disolatkan di Masjid Al-Muhtadin di sini kira-kira jam 11.30 pagi sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Turut memberikan penghormatan terakhir, suami mangsa, Azam Radin Mustapha Amiruddin, 46, sehingga jenazah selesai dikebumikan kira-kira jam 12.20 tengah hari.

Adik kepada Aszura, Muhammad Faizal Bani, 36, yang ditemui pemberita memaklumkan sejam sebelum kejadian dia menghantar mesej kepada kakaknya itu namun hanya membalas salam dan meminta menunggu sementara.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu dia menerima berita kejadian lemas yang menimpa ahli keluarganya.

"Sebenarnya kawasan Sungai Kenjur ini tempat kami selalu berkelah sekeluarga tapi tak pernah pula jadi kepala air.

"Tapi semalam dapat berita kakak ditemui lemas dan anak buah hilang sebab kepala air di sungai itu," katanya.

Sementara itu, jenazah tiga lagi mangsa yang merupakan anak Aszura iaitu Hanum Marissa Azam, 2; Hafif Muhayat Azam, 4, dan Hanna Mikayla Azam, 7, masih berada di Unit Forensik Hospital Tapah untuk dibedah siasat dan proses pengurusan jenazah.

Difahamkan, jenazah kesemua kanak-kanak itu dijangka dibawa ke Masjid Al-Muhtadin Bidor selepas Asar sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pekan Bidor, di sini. -Sinar Harian